Giannelli mahu elak sebarang kecederaan musim ini

09/02/2021 09:22 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb — Pemain tengah Kuala Lumpur United FC Sean Gan Giannelli berazam untuk kembali ke tahap optimum bagi memastikan tempat dalam kesebelasan utama selain ingin membantu pasukan itu terus kekal dalam saingan Liga Super.

Bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT II) itu berharap beliau tidak lagi dibelenggu sebarang kecederaan yang mampu merencatkan prestasinya bagi musim ini.



Musim pertamanya bersama Kuala Lumpur pada tahun lalu tidak berjalan lancar apabila mengalami kecederaan buku lali pada pramusim sekali gus mengetepikan peluangnya untuk berada dalam skuad utama dan hanya sempat beraksi bagi satu perlawanan sahaja.

“Saya bersyukur dan gembira apabila masih diberi peluang bersama pasukan ini buat tahun kedua dan paling teruja apabila ini akan menjadi pengalaman baharu untuk saya beraksi dalam Liga Super buat kali pertama.

“Memang tahun lepas adalah musim yang cukup mencabar disebabkan kecederaan buku lali dan saya langsung tidak dapat merasai minit permainan dan lebih teruk, liga juga hanya berjalan separuh musim,” katanya dalam satu kenyataan media oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL), hari ini.

Giannelli, 25, berkata lima musim bersama Harimau Selatan sebelum ini nyata memberi pengalaman berbeza, namun beliau mahu mencipta lebih banyak kejayaan bersama skuad the City Boys.



Katanya, JDT II sentiasa mengajar pemainnya untuk mempunyai mentaliti juara dalam setiap perlawanan dan kini beliau akan memastikan mentaliti sebegitu sentiasa ada dalam diri untuk membantu Kuala Lumpur mengejar misi musim ini.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button