Polis tahan sepasang kekasih abai bayi sendiri hingga cedera
12/02/2021 08:12 PM
TAWAU, 12 Feb — Polis menahan sepasang kekasih di Kampung Kausing di sini selepas dipercayai melakukan pengabaian terhadap bayi perempuan mereka yang berusia lapan bulan sehingga menyebabkan kecederaan.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Peter Umbuas berkata suspek lelaki berusia 42 tahun yang bekerja sebagai buruh ladang itu ditahan bersama pasangannya yang berusia 21 tahun pada 7.30 malam semalam bagi membantu siasatan.
Katanya siasatan dijalankan susulan aduan seorang pegawai perubatan Hospital Tawau pada 8 Feb lalu mengenai seorang bayi yang kini dirawat di Unit Pediatrik ICU hospital itu selepas didapati mengalami pendarahan dan bengkak otak serta kecederaan fizikal lain.
“Ibu bapa mangsa memberitahu pengadu bahawa bayi itu pernah terjatuh dari buaian pada Januari lalu akibat dibuai dengan kuat dan laju oleh si ibu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya bayi itu dilahirkan pramatang pada Jun tahun lepas dan pernah mengalami jangkitan pada usus, November lalu.
Beliau berkata kedua-dua suspek dipercayai dengan sengaja mengabaikan mangsa dengan tidak menghantar bayi itu untuk rawatan lanjut selepas terjatuh dari buaian.
Sementara itu, Peter berkata siasatan awal mendapati pasangan tersebut yang dipercayai pendatang tanpa izin bersekedudukan sejak Disember 2019 dan polis sedang menyiasat kewarganegaraan mereka.
Kedua-dua suspek direman hingga 18 Feb ini.