Pihak berkuasa Thailand tahan empat lelaki dakwa warga Malaysia di Tak Bai
17/02/2021 09:12 PM
NARATHIWAT, 17 Feb — Pihak berkuasa Thailand menahan empat lelaki yang mendakwa diri mereka sebagai warganegara Malaysia kerana menyelinap masuk ke Thailand secara haram.
Ketua Polis Tak Bai Kol Pol. Suthawet Thareethai berkata dalam kejadian kira-kira 8 pagi (waktu tempatan) hari ini, keempat-empat lelaki berumur antara 16 hingga 27 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah ditahan bersama dua warga tempatan yang dipercayai tekong darat di dalam sebuah kenderaan di daerah Tak Bai.
“Siasatan awal mendapati keempat-empat lelaki telah menyelinap masuk ke daerah Waeng, Narathiwat pada 15 Februari dan mereka sedang menunggu orang tengah untuk membawa mereka bekerja di sebuah ladang kelapa sawit di Pattani,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata keempat-empat lelaki itu akan didakwa esok kerana memasuki Thailand secara haram dan melanggar arahan kuarantin.
Untuk mengekang penularan COVID-19, Thailand mengenakan peraturan kemasukan ketat iaitu semua warga asing yang memasuki negara itu perlu menjalani kuarantin mandatori selama 14 hari, ujian saringan COVID-19 serta perlindungan insurans kesihatan bagi COVID-19 yang berjumlah tidak kurang daripada US$100,000.
Polis tahan dua lelaki selepas kejar lebih 10 km