Polis Thailand berkas rakyat Malaysia seludup dadah dalam peket mi segera

19/02/2021 07:11 PM

Oleh Linda Khoo

BANGKOK, 19 Feb — Seorang rakyat Malaysia diberkas oleh polis Thailand selepas dipercayai terbabit menyeludup dadah dalam peket mi segera di sini semalam (Khamis).



Pegawai penyiasat daripada Biro Polis Metropolitan Bangkok Pol. Mejar Char-khorn Premruedeelert berkata lelaki berusia 34 tahun itu diberkas di sebuah kondominium di Bang Na, timur Bangkok.

“Ketika diserbu, suspek sedang membungkus semula dadah jenis methamphetamine dalam peket perencah mi segera,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurutnya tangkapan tersebut dibuat selepas intipan selama hampir dua bulan hasil maklumat awam.

Menurutnya hasil siasatan awal, suspek mengaku menerima satu kilogram methamphetamine daripada seorang penduduk tempatan sebelum membungkusnya dalam peket perencah mi segera seberat 10 gram.



Beliau berkata peket mi segera itu kemudian dihantar kepada pelanggan di kawasan berdekatan dan suspek telah berbuat demikian sebanyak empat kali dengan bayaran 30,000 baht (kira-kira RM4,040) untuk setiap tugasan.

“Pemeriksaan di unit kondominium itu menemukan kira-kira 200 peket mi segera, alat penimbang serta peranti pengedap.

“Siasatan awal turut mendapati lelaki ini bekerja untuk seorang dalang, juga rakyat Malaysia yang berpangkalan di Malaysia,” katanya.

Menurutnya suspek akan didakwa kerana memiliki dadah serta tinggal lebih masa.



Didenda RM5,000 kerana langgar perintah kuarantin demi sepinggan mi

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button