Syafie Naswip dah temui cinta baru!
Kuala Lumpur: Pelakon Syafie Naswip, 29, mendedahkan dia kini sudah menemui cinta baharu yang cukup memenangkan hati sejak sebulan lalu serta membuat dia lebih bersemangat setiap pagi.
Pelakon filem Mukhsin itu berkata dia sudah semakin ‘jatuh cinta’ pada aktiviti bercucuk tanam sayur-sayuran dan gembira apabila sudah mula menuai hasilnya.
Ujarnya, selepas minat pada memasak, sekarang ‘berbudi pada tanah’ adalah cinta baharunya yang menjadi terapi diri sepanjang melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sejak PKP bermula pada 13 Januari lalu, saya terus berfikir aktiviti yang boleh dimanfaatkan dalam masa banyak terluang ini. Sayq tengok di kawasan rumah, ada pula tanah dan terus rasa mula nak berkebun.
“Saya buat kaedah tanaman dalam pasu kerana boleh tanam banyak sayur, termasuk pokok herba yang saya nak. Alhamdulillah, dalam tempoh sebulan ini dah merasa juga hasilnya seperti cili api, bendi, kucai dan kangkung,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Syafie, mana tahu dengan aktiviti bercucuk tanam ini akan membawanya bergelar petani moden suatu hari nanti. Ujarnya, yang pasti jiwanya tenang, positif dan sentiasa bersamangat meneruskan kehidupan.
“Untuk kerjaya seni, saya tetap teruskan kerana tawaran pun masih ada dan ia punca rezeki utama. Namun, sekaramg masih PKP dan saya pun tak tahu bila aktiviti penggambaran di luar akan dimulakan.
“Setakat bercuti seketika ini, alhamdulillah, saya masih mampu menanggung ibu bapa dan menyara keluarga dengan wang simpanan yang ada. Syukur, masih boleh bertahan,” katanya.
Syafie yang pernah memenangi anugerah Pelakon Kanak- Kanak Terbaik pada 2007, berkata hingga kini dia juga tidak terlalu bersikap memilih watak. Katanya, asalkan ia sesuai dan membawa impak dalam lakonan, dia sedia menerima.
Sepanjang menceburi kerjaya seni terutama lakonan ketika berusia 12 tahun, Syafie hingga kini sudah menerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dan juga beberapa trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.