Atlet boling kembali ke gelanggang esok
23/02/2021 04:48 PM
Oleh R. Vikneswaran
KUALA LUMPUR, 23 Feb — Esok, Sunway Megalanes akan kembali bergema dengan golekan bola boling selepas skuad boling tenpin negara diberi kebenaran untuk kembali memulakan latihan mereka, setelah lebih sebulan tidak dapat berbuat demikian.
Setiausaha Agung Kongres Tenpin Malaysia (MTBC) Maradona Chok berkata atlet bagaimanapun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat menerusi pendekatan gelembung sukan bagi mengekang penularan COVID-19.
Katanya pemain dibahagikan kepada dua kumpulan berdasarkan tempat kediaman pilihan mereka, sama ada kuarantin di kem iaitu di asrama Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, atau kuarantin di rumah.
Kesemua mereka akan menjalani latihan di Sunway Megalanes, namun kedua-dua kumpulan ini tidak akan bertembung antara satu sama lain kerana masing-masing mempunyai jadual latihan berbeza.
“Atlet teruja untuk kembali ke gelanggang. Mereka akan dipecahkan kepada dua kumpulan, iaitu yang ditempatkan di asrama Bukit Jalil akan berlatih pada sebelah pagi, sementara mereka yang dikuarantin di rumah akan berlatih selepas kumpulan pertama meninggalkan venue,” katanya kepada Bernama hari ini.
Katanya setiap atlet akan berlatih di satu lorong boling masing-masing bagi memaksimumkan penjarakan fizikal, manakala jurulatih akan memantau dari belakang, bukan berada bersama di lorong berkenaan.
Chok berkata 19 atlet akan ditempatkan di bawah kuarantin di rumah sementara 16 lagi tinggal di asrama MSN.
Jumaat lepas, kerajaan memberi kebenaran untuk aktiviti sukan dan rekreasi tanpa sentuhan, baik yang melibatkan ruang tertutup mahupun kawasan terbuka, termasuk boling, renang, memanah dan sukan ekstrem, berlangsung semula.
Sebelum ini, skuad kebangsaan tidak dapat meneruskan latihan mereka selepas memilih untuk tidak terlibat dalam gelembung latihan berpangkalan di kem apabila Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 dikuatkuasakan pada 13 Jan lalu, manakala pusat boling pula tidak dibenarkan beroperasi bagi membendung penularan virus itu.
Selepas lebih setahun tanpa sebarang kejohanan peringkat tinggi, skuad negara mungkin berpeluang menyertai kejohanan luar negara yang pertama pada Jun ini, iaitu Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Macau yang dijadualkan dari 14 hingga 19 Jun, namun keadaan itu bergantung pada perkembangan pandemik COVID-19.
Pelaksanaan PKP tidak jejas prestasi atlet boling padang negara