Pelaksanaan PKP tidak jejas prestasi atlet boling padang negara


Zuraidi Puteh

21/01/2021 02:56 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan — Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 13 Jan bagi membendung penularan pandemik COVID-19, tidak menjejaskan prestasi atlet boling padang negara yang meneruskan latihan secara dalam talian di rumah.

Ketua jurulatih skuad boling padang negara Zuraidi Puteh berkata skuad kendaliannya pernah melaksanakan latihan secara maya sewaktu PKP tahun lepas dan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor dari 14 hingga 27 Okt lepas.

Jelas beliau, pemain negara memutuskan untuk tidak menjalani latihan secara kuarantin di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil kerana berpandangan atlet negara yang lain lebih memerlukan penginapan.

“Kita memantau latihan yang mereka lakukan dalam talian setiap hari termasuk kecergasan selain mengubah suai teknik latihan,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

“Maknanya, apa yang perlu kita lakukan sebelum ini, kita lakukan semula setelah terbukti latihan di rumah tidak menjejaskan prestasi mereka.

“Selepas (berakhirnya PKP pada 26 Jan ini), kita akan uji pemain dengan beberapa kejohanan dalaman,” jelas Zuraidi.

Skuad boling padang negara yang dibarisi 20 pemain, bakal menghadapi dua kejohanan antarabangsa masing-masing pada September dan Oktober depan.

Kejohanan berkenaan adalah Kejohanan Boling Padang Dunia 2021 dari 7-19 Sept di Gold Coast, Australia dan edisi ke-14 Kejohanan Boling Padang Asia dari 18-23 Okt di Henan, China.

Leave a Reply