BEBAS COVID-19 – SYAFIQ FARHAIN KEMBALI BERTUGAS SEBAGAI BOMBA

Selepas menjalani tempoh kuarantin selama dua minggu, akhirnya penyanyi Syafiq Farhain menarik nafas lega apabila dia kini bebas COVID-19. Malah, penyanyi lagu ‘Sayang Maafkan Aku’ itu sudah kembali menjalankan tugas sebagai anggota bomba, sejak kelmarin.

Bagaimanapun, Syafiq berkata dia mengalami penyusutan berat badan secara mendadak selepas dijangkiti COVID-19, awal bulan ini. Ujar Syafiq, dia bersyukur tidak mengalami simptom berat, sebaliknya hanya mengalami sakit kepala, demam dan hilang deria rasa.

“Alhamdulillah, saya tidak mengalami simptom teruk seperti sesak nafas. Mulanya, saya hanya pening kepala, tetapi saya menyangkakan hanyalah pening kepala biasa sahaja. Biasanya, pening kepala akan hilang selepas bangun tidur. Bagaimanapun, kali ini agak berbeza kerana sakitnya masih terasa.



“Pada hari kedua, saya mula rasa seram sejuk, namun masih menyangka ia hanya demam biasa. Jadi, saya hanya mengambil ubat demam hinggalah hari ketiga dan keempat, deria rasa saya mula terganggu. Daripada situ, saya sedar ia bukanlah demam biasa, jadi membuat keputusan untuk menjalani ujian calitan dan disahkan positif,” katanya.

Klik untuk gambar besar

Image_2.jpg

Sentiasa berfikiran positif ketika dalam tempoh kuarantin, Syafiq memberitahu, dia tidak tahu daripada mana mendapat jangkitan COVID-19. Namun, merasa bersalah apabila menyusahkan teman-temannya.



“Sejujurnya, saya langsung memikirkan perkara bukan-bukan, bagaimana penyakit ini melarat dan sebagainya. Cuma, paling dibimbangkan sekiranya menyusahkan kontak rapat khususnya teman di tempat kerja.

“Bagaimanapun, bukan saya seorang sahaja di tempat kerja yang didapati positif, sebaliknya ada beberapa rakan sekerja lain turut dijangkiti. Bermakna, ia bukanlah berpunca daripada saya,” tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Syafiq yang juga anak keempat kepada vokalis kumpulan Iklim iaitu Allahyarham Saleem berkata, dia tetap merasakan impak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Image_3.jpg



Syafiq risau jika kalau peminat terlupa kewujudannya dalam industri muzik apabila banyak undangan persembahan dibatalkan. Katanya, dia tidak sempat menjayakan sebarang persembahan terbuka sejak hampir setahun lalu. Sebaliknya, hanya menjayakan dua persembahan korporat.

Tambah Syafiq lagi, dia bersyukur mempunyai kerjaya tetap, belum pernah terlintas dalam fikiran untuk meninggalkan kerjaya berkenaan sejak bergelar penyanyi. Lagi pun, jadual kerjanya tidak pernah terganggu.

“Saya tak pernah terfikir meninggalkan kerjaya sebagai anggota bomba kerana setakat ini, jadual tersusun dengan baik. Lagipun, saya bekerja pada waktu pejabat, jadi mudah untuk saya mengatur jadual nyanyian. Sekiranya, aktiviti nyanyian bertembung dengan jadual pejabat, saya masih boleh menyusun dengan baik.

“Cuma, agak sukar menerima tawaran lakonan. Banyak tawaran lakonan terpaksa ditolak kerana jadual tidak kena. Setakat ini, saya pernah menjayakan filem, ‘Hero The Movie’ dan dua telefilem. Saya akui seronok berlakon,” ujarnya.



Penyerang JDT Syafiq Ahmad cedera, anak antara tiga maut dalam kemalangan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button