MOHON MAAF ISU TIRU AKSI TOKOH OKU – BABY SHIMA AKUI TIADA NIAT HINA
"Demi Allah, saya tak tahu pun dia adalah OKU. Saya hanya fokus kepada kakinya sahaja dan terus buat video seperti itu. Saya nampak video itu dari TikTok.
"Saya memang tak perasan langsung keadaan dirinya begitu sebab terlalu perhatikan kakinya. Selepas 30 minit saya berkongsi video itu, saya terus dikecam kerana tidak sensitif.
"Barulah saya tahu yang individu itu adalah OKU dan terus ambil langkah memadam video berkenaan. Kalau betul saya ada niat nak menghina, lebih baik saya biarkan saja video itu.
"Saya minta maaf kepada Zhariff dan semua pihak yang terguris hati. Saya tiada niat nak hina. Buat apa saya nak buat sesuatu yang mencalarkan nama sendiri," demikian perjelasan penyanyi Baby Shima.
Klik untuk gambar besar
Penyanyi itu tampil memohon maaf atas kesilapannya meniru pergerakan tokoh Orang Kelainan Upaya (OKU) iaitu Zhariff Affandi menerusi satu hantaran video di aplikasi TikTok, baru-baru ini.
Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli berkata, dia sudah memadam video berkenaan dan menjelaskan ia dilakukan tanpa sengaja tanpa menyedari Zhariff seorang OKU. Tindakan Shima itu juga mengundang kemarahan netizen.
Menerusi video terbabit, Shima melakonkan semula aksi Zhariff yang dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan dan menggunakan anggota kaki untuk melakukan tugas harian dalam satu sesi temubual untuk program TV.
Aksi penyanyi berusia 29 tahun itu mendapat kecaman netizen di media sosial dan melabelkan penyanyi yang melakar nama di Indonesia itu tidak sensitif.
Menurut Shima, dia kesal dan terkejut apabila video terbabit dikongsikan semula oleh pihak tidak bertanggungjawab selepas empat hari dimuat naik dan dipadam.
Katanya, dia sudah berbincang dengan peguamnya dan membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan video itu tanpa mengetahui perkara sebenar.
"Video itu saya muat naik dan sudah padamkan empat hari lalu. Namun, tiba-tiba ada orang sebarkan semula video itu sejak malam tadi. Saya sangat terkejut dan pelik. Apa niatnya nak kongsi video itu tanpa mengetahui perkara sebenar?
"Pihak yang sebarkan video itu sudah memfitnah dan merosakkan nama serta imej saya. Jadi, saya sudah berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu atau pihak yang menyebarkan fitnah sehingga merosakkan nama saya," katanya.
Zhariff yang berkelulusan perkembangan psikologi dari Universiti Graffith Australia pernah menerima Anugerah Belia Perdana 2011 dan juga pemilik syarikat The Zhariff Initiative Sdn Bhd.