ELITE MUNCUL DENGAN LAGU TERBAHARU – ‘ALHAMDULILLAH’

 

Kumpulan Elite yang pernah popular sekitar 90-an dahulu nampaknya bakal mengubati kerinduan peminat yang pastinya akan teruja apabila mereka dikhabarkan membuat kemunculan kembali dalam industri muzik negara.

Sempena ulang tahun ke-25 penubuhan kumpulan Elite yang dianggotai oleh artis terkenal seperti Abby Abadi, Azza, Linda Rafar, Watie dan Sasha ini, mereka dikhabarkan akan bergabung sekali lagi dalam menghasilkan single terbaru berjudul ‘Alhamdullilah’.

Menurut wakil kumpulan Elite, Abby Abadi memberitahu media bahawa setelah hampir 20 tahun tidak bersatu dalam mana-mana acara, mereka akhirnya mengambil keputusan untuk kembali berkerjasama dalam menghiburkan peminat.



Meskipun konsep lagu yang dihasilkan kali ini agak berbeza berbanding dahulu, Abby berkata ahli-ahli kumpulan Elite yang lain sudah bersetuju untuk muncul dengan konsep sebegitu kerana ingin menyampaikan mesej-mesej yang baik untuk pendengar.

__

“Sesuai dengan ketibaan Ramadan tidak lama lagi, kami berharap dapat menyebarkan perkara-perkara positif kepada peminat yang sudah lama menantikan kemunculan semula Elite,” ujarnya.

Menurut Abby, antara alasan utama dia kembali bekerjasama dengan kumpulan Elite yang ditubuhkan pada 1996 itu kerana merindui hubungan kekeluargaan yang terbina sejak 25 tahun lalu.



“Ketika dihubungi untuk kembali bergabung, saya terus bersetuju kerana kasih sayang yang sudah lama terbina antara kami. Tambahan pula, lagu yang ingin diketengahkan juga sangat membantu dan memberi mesej yang baik. Bukan hanya kepada saya tapi kepada semua orang. Insya-Allah saya akan cuba memberikan kerjasama yang baik sepanjang tempoh promosi lagu ini,” katanya.

Menurut Watie pula, meskipun muncul dengan lagu berkonsepkan islamik, identiti kumpulan mereka masih lagi mengekalkan konsep yang sama iaitu rap. Dia dalam pada itu turut berharap agar peminat di luar sana dapat memberikan respon positif ke atas buah tangan terbaru mereka itu nanti.

Lagu ‘Alhamdullilah’ merupakan lagu ciptaan Noura dan Rayyan Rayhan di bawah penerbitan Imaan Music yang merupakan label islamik KRU Music. Ianya bakal dilancarkan pada 19 April nanti menerusi semua platform digital.



Sementara itu, Abby Abadi tidak kisah jika ada pihak mempertikaikan tindakannya untuk kembali aktif menyanyi selepas penghijrahan yang dilakukan sebelum ini.

Abby berkata, dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan untuk tidak mahu menyanyi sebaliknya mahu menjadi orang Islam yang lebih baik.

“Saya tak pernah kata pun tak nak menyanyi atau berlakon, cuma saya ingin berubah menjadi lebih baik. Saya juga tak pernah beritahu kalau nak jadi Islam yang baik, tak boleh berlakon atau terbabit dalam aktiviti seni. Dalam masa sama, ada benda yang boleh dan tidak boleh untuk saya buat.



“Bagi saya, segala kesalahan yang pernah saya lakukan dulu tidak akan berulang lagi. Ada batasan yang kita kena jaga sebab Allah sudah beri petunjuk. Buat apa nak buat benda yang salah berulang kali,” jelasnya.

 

“RAMAI DENGKI…” – ABBY ABADI BERANG DITUDUH KAYA SEBAB JUAL BAYI



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button