ANGGAP KEHILANGAN KERJA ADALAH HARGA PERLU DIBAYAR – SHUK BANGKIT DENGAN KAFE MINUMAN
“Saya anggap kehilangan beberapa tawaran kerja adalah harga yang perlu saya bayar,” itulah kata-kata pelawak Shuk Sahar yang mendedahkan kehidupannya terjejas apabila kehilangan gaji setahun selepas kontrak di stesen radio Hot FM ditamatkan, gara-gara kontroversi kecuranganya.
Serik dan berjanji tidak akan curang lagi terhadap isterinya iaitu Rossalennah Natassyiah Asshaferah atau Sera, Shuk berkata, walaupun kehilangan punca pendapatan, hubungan dia dengan isteri serta ahli keluarga lain semakin rapat.
“Ya, sudah tentu saya tak akan melakukan perkara sama (curang). Apa yang berlaku itu benar-benar memberi kesan kepada kehidupan saya. Saya memang terduduk. Boleh katakan saya hilang gaji selama setahun selepas diberhentikan dari stesen radio.
“Kebetulan pula, saya sudah habiskan wang simpanan untuk ubah suai rumah kerana kontrak dengan stesen radio akan tamat pada 2023. Bukan saja saya hilang kerja di stesen radio, tapi beberapa tawaran untuk program TV pun ditarik semula.
“Namun, saya tetap bersyukur kerana selepas apa terjadi, hubungan saya dengan isteri dan ahli keluarga semakin rapat. Saya juga dapat semula keluarga,” ujarnya.
Klik untuk gambar besar
Krisis rumah tangga dan isu curang membabitkan Shuk akhirnya makan diri apabila siasatan dalaman pihak pengurusan stesen itu mendapati dia bersalah dan ditamatkan kontrak.
Pada Januari lalu, tular di media sosial mengenai pergolakan semula rumah tangga Shuk apabila Sera membuat pendedahan di Instagram.
Menerusi beberapa perkongsian hantaran yang dimuat naik di media sosial itu, Sera mendedahkan Shuk masih curang bersama wanita yang pernah dikaitkan dengannya sebelum ini.
Bagaimanapun, pada 8 Februari lalu Shuk sudah berbaik semula dan berjaya memujuk isterinya selepas membuat kejutan membawa rombongan meminang ke kediamannya.
Shuk juga mengakui kesalahan dilakukan dan dia menyesal. Malah, janjinya selepas apa yang berlaku dia mahu melakukan yang terbaik buat isteri, anak dan keluarga.
Untuk makluman, Shuk dan Sera mendirikan rumah tangga pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Nur Qurratu Ain, 4, dan Nur Assyifatu Aimi, 1.
Dalam pada itu, cawangan pertama kafe air minuman dan manisan, Semooth di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, adalah kebangkitan Shuk selepas dikecam sebelum ini hingga mengakibatkan kehilangan beberapa tawaran kerja.
“Memandangkan sudah tidak lagi berkhidmat di Hot FM, saya perlu ambil langkah dengan cepat untuk menyara keluarga. Jadi, saya bersama seorang lagi rakan kongsi cuba fikirkan idea terbaik untuk memulakan perniagaan.
“Akhirnya kami bersepakat untuk membuka kafe minuman. Insya-Allah kami dalam perancangan untuk membuka beberapa cawangan lagi selepas ini. Apabila rezeki dalam bidang seni terjejas teruk, saya kena cari alternatif.
“Alhamdulillah saya dipertemukan dengan rakan kongsi yang sudi membantu. Malah saya selalu menghubungi pelawak Shuib bagi bertanyakan selok-belok perniagaan. Saya sering meminta nasihat dan tunjuk ajar daripadanya,” tuturnya.
Menurut Shuk, Shuib seorang yang tidak kedekut ilmu malah banyak membantunya: “Walaupun perniagaan yang saya usahakan hampir sama dengan perniagaan yang dijalankannya, Shuib tak kisah, malah dia mengajar saya beberapa perkara.
“Saya akui nak jalankan perniagaan ini tak mudah, tapi Shuib pesan kalau tak cuba tak tahu dan sekali dah buka, kena konsisten serta fokus,” jelasnya.
B4kal Buka Kafe D4lam Masa Terdekat, Shuk Sahar Cari Pekerja Di Wangsa Maju