Menteri KPT Perlu Pertimbang Cadangan Mahasiswa

 

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) digesa mempertimbangkan pelbagai cadangan diutarakan pergerakan dan kesatuan mahasiswa dalam merungkai isu pendidikan yang tercetus susulan pandemik COVID-19.

Kesatuan Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ketika menyuarakan harapan sedemikian berkata langkah itu penting berikutan pandemik kesihatan yang mula menular di Malaysia sejak Januari tahun lalu menyaksikan kuliah terpaksa dijalankan secara dalam talian.

Sehubungan itu, katanya, rangkaian masalah berbangkit timbul, termasuk kebolehlaksanaan proses amali yang lazimnya berperanan untuk mahasiswa menterjemahkan pembelajaran teori kepada praktikal di lapangan.

 





“Menyedari hakikat bahawa mahasiswa ialah antara kumpulan paling terkesan dalam isu ini, mereka sudah menyampaikan terlalu banyak cadangan, tetapi malangnya, sepi tanpa sebarang maklum balas.

“Jika diberikan ruang untuk perbincangan, kita yakin bahawa pergerakan dan kesatuan mahasiswa bersedia menghulurkan kerjasama kepada kepemimpinan KPT.

“Seiring pelantikan semula menteri, mahasiswa sebagai pemegang taruh akan terus meneliti pencapaian KPT bagi memastikan kegagalan sama yang pernah berlaku sebelum ini tidak berulang.

“Apa yang berlaku perlu dijadikan pengajaran dan bersama kita harus merintis arus perubahan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sebagai tanda mewujudkan kerjasama, Kesatuan Mahasiswa UIAM berkata pihaknya mengirimkan surat terbuka kepada KPT.

Bagaimanapun kesatuan itu tidak memperincikan tarikh dokumen itu dihantar untuk pertimbangan kementerian.

Katanya, kesatuan bagaimanapun sehingga kini tidak mendapat sebarang maklum balas daripada KPT.

“Sekali lagi, kami ingin tegaskan bahawa mahasiswa sudah penat apabila berterusan terpaksa diheret sekali dalam drama politik saban hari.

“Sepatutnya, KPT kekal fokus dalam menjalankan portfolio mereka dan buktikan bahawa segenap isu berupaya dirungkai secara tuntas, berbanding kegagalan sama yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

bh


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading