Burung Malaysia Laris Di Indonesia

 

Tidak sempat diseludup keluar ke Indonesia apabila sebanyak 1,918 ekor burung Murai Kampung ditemui dan dirampas di Pantai Alai di sini.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Melaka, Nora Dinah Abdul Rahman berkata, kejayaan merampas 55 sangkar burung itu adalah hasil kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Beliau berkata, pihaknya menerima serahan semua burung tempatan itu di di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Linggi di sini, Khamis lalu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut terhadap 55 sangkar itu menemui 1,918 ekor burung Murai Kampung dianggarkan bernilai RM76,720.

 





“Semua burung itu disyaki mahu dibawa keluar dari Malaysia ke negara Indonesia tanpa Permit Eksport daripada pihak MAQIS.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana mengeksport keluaran pertanian iaitu burung murai kampung tanpa permit eksport sah daripada MAQIS.

“Jika sabit kesalahan, individu yang melakukannya boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya tadi.

Beliau berkata, MAQIS sentiasa mengambil langkah serius dalam perkhidmatan kuarantin, pemeriksaan dan penguatkuasaan bagi memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, mikroorganisma dan makanan yang diimport dan dieksport bebas daripada ancaman perosak, penyakit, bahan cemar dan tidak menjejaskan sektor pertanian negara.

metro



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button