Sabah Diberi Keutamaan Vaksin Cansino
Sabah menjadi negeri yang diberi keutamaan bagi penyaluran vaksin dos tunggal jenama Cansino.
Jumlah tersebut merangkumi keseluruhan 2.89 juta dos vaksin yang diumumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum ini.
Perkara tersebut dinyatakan Khairy pada Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) Sabah pada Isnin.
“Pertamanya adalah komitmen dari Kerajaan Persekutuan untuk menghantar seperti yang telah diumumkan iaitu sebanyak 2.89 juta dos vaksin pada September ini.
“Dengan penghantaran itu, kita yakin Sabah akan dapat meningkatkan kadar vaksinasi harian kepada 60,000 hingga 70,000 suntikan sehari dan kita masih lagi berpegang kepada sasaran 60 peratus daripada penduduk dewasa Sabah akan lengkap vaksinasi pada akhir bulan September, dan 80 peratus daripada penduduk dewasa Sabah akan lengkap vaksinasi pada akhir bulan Oktober.
“Buat masa ini kita menunggu penghantaran tambahan daripada Cansino dan ada jadual kita akan terima untuk seluruh Malaysia.
“100,000 pada minggu depan dan 200,000 pada akhir bulan ini, jadi tambahan 300,000 sahaja pada bulan September disebabkan bekalan yang tidak cukup di peringkat antarabangsa.
“Kita akan buat pengagihan yang sepatutnya kepada negeri Sabah. Pada bulan Oktober, kita jangkakan kita akan terima lebih banyak lagi Cansino dan sudah pasti Sabah akan menjadi negeri keutamaan disebabkan keperluan untuk vaksin dos tunggal ini,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat CITF Sabah pada Isnin.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Khairy dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Tambahnya, bagi program vaksinasi golongan remaja berusia 18 tahun ke bawah, ia boleh dilaksanakan selepas negeri itu mencatatkan 80 peratus imunisasi kelompok yang dijangka boleh dicapai pada Oktober ini.
“Untuk kita mencapai sasaran tersebut, kita akan perbanyakkan Program Jangkauan (Mobile Outreach Program). Kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah akan merancang lebih 130 program jangkauan dalam bulan September dan Oktober ini, yang melibatkan program vaksinasi di luar untuk kita mencapai sasaran yang telahpun ditetapkan.
“Mungkin pada bulan Oktober nanti, bila jumlah populasi dewasa di Sabah sudahpun mencapai hampir 80 peratus, maka saya telah maklumkan kepada Ketua Menteri Sabah bahawa kita boleh mulakan vaksinasi untuk golongan remaja di Sabah.
“Insya-Allah ia boleh dilaksanakan pada bulan Oktober nanti bila kita sudah mencapai sasaran yang baik dari segi vaksinasi bagi golongan dewasa,” katanya.
Jelas Khairy, dua perkara utama yang ditekankan dalam mesyuarat yang diadakan pada Isnin tersebut akan mula dilaksanakan bermula esok.
“Ada dua perkara besar yang dibincangkan tadi. Pertamanya adalah program imunisasi yang pada bulan ini. Insya-Allah dengan bekalan yang mencukupi, kita akan melihat jumlahnya semakin meningkat.
“Yang kedua adalah keperluan untuk menghadapi masalah COVID-19 yang telahpun kita beri jaminan kepada kerajaan negeri, berkenaan peningkatan bantuan dari segi aset dan tenaga kerja untuk memastikan bahawa kes-kes yang meningkat ini dapat kita rawat dengan sebaik mungkin,” jelasnya.
awani