Kehamilan Tidak Luntur Semangat Nur Diyana

Hamil Tidak Luntur Semangat Nur Diyana

 

Bermula sebagai suri rumah tangga sepenuh masa, hasratnya untuk menambahkan pendapatan keluarganya membuatkan Nur Diyana Md Radzi, 33, sanggup menjadi pemandu bas henti-henti MyBAS Perlis.

Selain itu, demi komitmen tugasnya itu berserta restu dan izin yang diberikan suaminya, Nur Mozid Akhbar, 35, yang bertugas sebagai pembantu penguatkuatkuasa kementerian di Sungai Petani, Kedah, Nur Diyana berulang alik dari kediamannya di Alor Setar ke Kangar saban hari untuk membawa bas di Perlis walaupun pada waktu ini dia sedang hamil lima bulan.

Menurut Nur Diyana, dia pemandu bas wanita tunggal MyBAS Perlis sejak dua tahun lalu.

“Sebelum ini saya suri rumah dan sememangnya saya tidak pernah mempunyai pengalaman memandu bas atau kenderaan berat lain namun disebabkan minat untuk memandu kenderaan berat, saya terjumpa peluang yang ditawarkan oleh Pusat Giat MARA untuk memperoleh lesen membawa kenderaan berat ini.

“Tanpa bertangguh, saya pun cuba untuk mendapatkan lesen pemanduan kenderaan berat iaitu lesen PSV Bas dan dalam masa tempoh latihan itu, Pusat Giat MARA ada melakukan temuduga untuk pengambilan sebagai pemandu bas bagi syarikat MARA Liner Sdn Bhd,” katanya selepas ditemui ketika melakukan pemanduan bas dari Terminal Bas Bukit Lagi, di sini ke laluan Kilang Gula di Chuping, semalam.

Katanya, selepas diterima bertugas pada Disember 2019, dia masih ingat berasa gementar hari pertama membawa panumpang dari Stesen Bas Kangar ke kawasan Panggau sejauh 4.5 kilometer.

Nur Diyana berkata, lima anaknya yang berusia lima hingga 10 tahun kini mulai mengerti dengan pekerjaan yang dilakukan olehnya.

“Banyak juga karenah penumpang yang terpaksa dihadapi oleh saya tetapi saya hadapkan juga kerana ini adalah mata pencarian saya.

“Selain daripada cabaran memandu bas mengikut bentuk dan keadaan fizikal jalan itu sendiri soal keselamatan juga memainkan peranan.

“Kadang kala juga adakalanya pada untuk perjalanan terakhir pada hari berkenaan, hanya ada seorang sahaja penumpang lelaki atau warga asing yang akan menaiki bas saya dan situasi itu juga agak mendebarkan juga dan saya akan memaklumkan kepada pejabat pentadbiran.

“Pihak atasan akan sentiasa memantau keadaan saya memastikan saya selamat selain penumpang yang dibawa itu benar turun di destinasi yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus MyBAS Perlis, Wan Nor Alam Shah Wan Abdullah berkata, pihaknya mempunyai 59 pemandu bas yang ditugaskan untuk membawa penumpang di 10 laluan yang sudah ditetapkan.

“Sejak beroperasi pada 2015, ini adalah kali pertama kita menerima seorang pemandu bas wanita dan saya lihat Nur Diyana ini sangat berkaliber dalam mengendalikan pemanduan bas,” katanya.

Terdahulu, pemanduan bas berkenaan turut disertai oleh Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri (JPJ) Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah dan Pengurus MyBAS Perlis, Wan Nor Alam Shah Wan Abdullah yang melakukan advokasi keselamatan jalan raya dalam perjalanan sejauh 30.2 kilometer itu.

metro



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button