Waran tangkap Rewcastle-Brown dikeluarkan
.
Mahkamah Majistret di sini, hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.
Ini berikutan beliau gagal menghadirkan diri untuk dituduh berkaitan kes fitnah terhadap Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Perintah itu dikeluarkan Majistret Nordiana Abd Aziz selepas pihak pendakwaan memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadap Rewcastle-Brown, 62.
Rewcastle-Brown berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.
Fitnah dikeluarkan melalui buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose.
Nordiana kemudian menetapkan 23 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah, Noor Haslinda Che Seman dan Nadia Zulkefli.
Terdahulu, Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown berhubung fitnah dalam buku ‘The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose’.
Baginda menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta.
Sultanah Nur Zahirah yang memfailkan saman pada 21 November 2018, mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terbabit dalam amalan rasuah dan mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Terengganu, selain menggunakan status baginda untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda membantu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low menjadi penasihat TIA.
BH