Ejen judi ‘online’ kena cekup

 

Seramai lima individu termasuk seorang wanita tempatan ditahan polis selepas didapati terlibat dalam kegiatan perjudian dalam talian di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kesemua suspek berusia 26 hingga 60 tahun itu ditahan dalam satu serbuan kira-kira jam 3 petang di sebuah rumah di daerah ini.

Menurutnya, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati kegiatan perjudian tersebut telah beroperasi sejak tiga hari lalu.

“Kegiatan ini beroperasi dari jam 11 pagi hingga jam 8 malam setiap hari. Kesemua suspek juga mengaku berperanan sebagai ejen untuk menguruskan sembilan orang pelanggan tetap sahaja.

“Namun, segala bayaran dan transaksi oleh pelanggan akan diuruskan oleh khidmat pelanggan dari tempat lain dan mereka ini hanya merekodkan jumlah pertaruhan daripada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Dzulkhairi berkata, kesemua suspek ditahan juga dipercayai menerima gaji yang dijanjikan iaitu antara RM2,000 hingga RM3,000 selain komisen sebanyak 0.2 peratus bergantung kepada jumlah pertaruhan daripada pelanggan.

“Dalam operasi ini, polis turut merampas empat komputer riba pelbagai jenama, satu tablet jenama Apple, 10 telefon bimbit pelbagai jenama, sehelai kertas putih tertulis jadual pertaruhan perjudian online, dan satu peranti pencucuh jenama Toshiba.

“Hasil semakan rekod lampau juga mendapati seorang daripada suspek mempunyai lima rekod kesalahan lampau,” katanya.

Beliau berkata, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri untuk tindakan lanjut.

sinar

Leave a Reply