Neelofa, suami hadir ke Mahkamah
Selebriti dan usahawan terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor dan suami, Muhammad Haris yang berdepan dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kedai karpet di Nilai, hadir di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Pasangan itu tiba di Kompleks Mahkamah Seremban pada jam 8.40 pagi.
Neelofa yang berjubah kelabu dan Muhammad Haris berbaju biru memasuki pintu pengawal kompleks dengan mengikut SOP ditetapkan.
Mereka kemudian menuju ke kamar bicara sambil diiringi Peguam terkenal Tan Sri Muhammad Shafie Abdullah yang tiba lebih awal.
Difahamkan, kehadiran pasangan terbabit adalah bagi serahan dokumen.
Pada 20 Mei lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan Bersyarat (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka ketika berada di sebuah premis menjual karpet di pusat perniagaan Nilai 3, dekat sini, pada 2 Mei lalu.
Mereka berdepan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Muhammad Haris, 26, didakwa atas dua kesalahan gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, pada 4 petang, 2 Mei lalu.
Noor Neelofa, 32, pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.
Kes pasangan terbabit tertangguh beberapa kali kerana sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
BH