Murid Ppki kembali ke sekolah

 

Pelbagai ragam dan gelagat ditunjukkan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Tun Syed Ahmad Shahabudin, Ayer Keroh yang hadir ke sekolah hari ini.

Selepas ‘bercuti panjang’, kelihatan murid teruja kembali ke sekolah dan berjumpa dengan guru yang menyambut mereka di pagar sekolah sejak awal pagi.

Ibu murid Tahun Satu PPKI, Marhani Che Mohd Salleh, 46, berkata, sebagai persediaan awal dia sudah memaklumkan kepada anaknya sejak tiga hari lalu sesi persekolahan akan bermula hari ini.

Katanya, anaknya yang sebelum ini hanya sempat bersekolah selama dua minggu kelihatan teruja dan gembira apabila diberitahu akan ke sekolah.

“Tadi pagi liat lah juga dan sebaik dia bangun untuk mandi, kami di rumah tepuk tangan untuk buatkan dia lebih semangat.

“Dalam kereta pun dia gembira dan teruja, mungkin bila lihat ramai orang di pagar sekolah buatkan dia sedikit terkejut serta tidak mahu masuk dan ingin balik ,” katanya ketika ditemui.

Bapa seorang lagi murid Mohd Ilham Iberahim, 40, berkata, dia dapat lihat keterujaan anak sulungnya berusia lapan tahun itu untuk kembali bersekolah.

“Dalam terujanya itu, dia ada juga cakap yang berdebar mungkin untuk bergaul dengan kawan-kawan baharu kerana sebelum ini dia bersekolah di tempat lain.

“Tidak mahu dia terus takut dan cemas saya memberinya nasihat dan berpesan keadaan di sini sama seperti sekolah lama selain rakan-rakan juga baik,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk TS Kamel Mohamad, berkata di Melaka seramai 3,000 pelajar memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini.

Kata beliau, jumlah itu membabitkan 40 sekolah menengah dengan 1,400 pelajar, manakala 105 sekolah rendah dengan kehadiran seramai 1, 600 murid.

“Mereka yang hadir ke sekolah hari ini untuk belajar secara bersemuka membabitkan murid pendidikan khas dan juga pelajar Tingkatan Enam semester dua.

“Saya mewakili kerajaan negeri mengucapkan syabas kepada warga Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang membuat persiapan serta persediaan bagi membolehkan sesi persekolahan dibuka,” katanya.

BH



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button