Saintis rayu tindakan segera atasi isu iklim di COP26

Saintis rayu tindakan segera atasi isu iklim di COP26
Komitmen yang dibuat setakat ini pada COP26 masih boleh membawa kepada ‘malapetaka’ pemanasan sebanyak 2.7 darjah Celcius menjelang 2100, menurut PBB. – Foto AFP

Saintis rayu tindakan segera atasi isu iklim di COP26

GLASGOW: Lebih daripada 200 saintis yang menghadiri sidang kemuncak iklim COP26 menggesa tindakan segera diambil bagi menghentikan pemanasan global.

Amaran itu dikemukakan hari ini dalam surat terbuka yang menegaskan, beberapa kesan perubahan iklim ‘tidak dapat dipulihkan’ untuk generasi seterusnya.

Mesyuarat di Glasgow bertujuan melaksanakan Perjanjian Paris, dengan matlamatnya untuk mengehadkan kenaikan suhu di antara 1.5 dan dua darjah Celsius di atas paras praindustri.



Namun, ketika rundingan memasuki hari terakhir, komitmen yang dibuat setakat ini masih boleh membawa kepada ‘malapetaka’ dengan pemanasan sebanyak 2.7 darjah Celsius menjelang 2100, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Surat terbuka yang ditandatangani beberapa pengarang laporan Panel Perubahan Iklim Antara-Kerajaan (IPCC), menyeru perwakilan di Glasgow untuk ‘mengiktiraf sepenuhnya’ bukti saintifik yang telah mereka kumpulkan mengenai ancaman buruk kesan daripada perubahan iklim.

“COP26 adalah detik bersejarah bagi nasib iklim, masyarakat dan ekosistem, kerana aktiviti manusia telah menyebabkan pemanasan planet ini sekitar 1.1 darjah Celsius dan pelepasan gas rumah hijau pada masa hadapan akan menentukan pemanasan tambahan pada masa depan.

“Kami, saintis iklim, menekankan bahawa tindakan segera, konkrit, pantas, berterusan dan berskala besar adalah perlu untuk mengekalkan pemanasan dalam sasaran Perjanjian Paris,” kata surat itu, yang ditandatangani oleh penyelidik dari seluruh dunia.



Ogos lalu, laporan ‘kod merah’ daripada badan sains iklim terkemuka dunia, IPCC, memberi amaran bahawa suhu purata bumi akan mencapai nilai ambang 1.5C darjah Celsius sekitar 2030, sedekad lebih awal daripada yang diunjurkan tiga tahun lalu.

Bagi mengelakkan dunia melampaui sasaran suhu itu, IPCC berkata, pelepasan mesti diturunkan sehingga 45 peratus dalam dekad ini.

Peningkatan suhu atmosfera telah meningkatkan pemanasan secara ekstrim dan ini menyebabkan masyarakat di seluruh dunia mengalami kebakaran dan kemarau yang lebih besar termasuk mengakibatkan ada penduduk terpaksa berpindah dan keadaan ekonomi menjadi lebih teruk.

Satu penilaian utama baru-baru ini turut menunjukkan pelepasan karbon dioksida (CO2) global tahun ini dijangka meningkat semula ke tahap prapandemik.



“Pelepasan gas rumah hijau terkumpul setakat ini telah menyebabkan planet kita menerima perubahan penting dalam sistem iklim yang menjejaskan masyarakat, ekosistem marin dan daratan, sebahagian daripadanya tidak dapat dipulihkan untuk generasi akan datang,” kata surat berkenaan. – AFP

Saintis rayu tindakan segera atasi isu iklim di COP26


Disyorkan Untuk Anda :

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button