Tiga cedera, tempat pengisar arang batu meletup
Tiga pekerja kilang simen di Jalan Kota Bahru di sini cedera apabila berlaku kebakaran di tempat pengisar arang batu (coal), seterusnya menyebabkan letupan kecil kawasan berkenaan.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima laporan itu pada pukul 6.40 pagi tadi.
“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng ke lokasi kejadian dan mendapati berlaku kebakaran membabitkan tempat pengisar arang batu.
“Didapati tiga orang mangsa mengalami kecederaan, dipercayai dua pekerja tempatan berumur 30 tahun dan seorang lagi pekerja warganegara Bangladesh.
“Dua daripadanya cedera di bahagian tangan dan dada manakala seorang lagi hanya cedera ringan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya lagi, komander operasi kemudiannya mengarahkan unit EMRS untuk memberi rawatan awal kepada mangsa, sebelum diserahkan kepada pihak perubatan.
“Operasi pemadaman dilakukan dengan menggunakan satu aliran hos 200 kaki, bersumberkan air dari pili bomba sehingga api berjaya dipadam,” katanya lagi.
Ujarnya, mangsa yang cedera kemudiannya diserahkan kepada pihak perubatan untuk tindakan susulan.
Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 8.50 pagi.
awani