Tiada perarakan Thaipusam berikutan ancaman Omicron

 

Tiada perarakan akan diadakan pada Thaipusam bulan depan memandangkan negara sedang berdepan ancaman varian Covid-19 Omicron, kata Menteri Perpaduan Negara Halimah Sadique hari ini.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat, kementeriannya telah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi sambutan perayaan itu yang jatuh pada 18 Jan.

“Perarakan bagi sambutan Thaipusam tidak dibenarkan dalam pada kita sedang berdepan varian baharu (Omicron) ini,” katanya, selain menambah bahawa keputusan itu dibuat setelah kementeriannya mengadakan sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan awal bulan ini.

Menurut Halimah, sesi itu dihadiri 10 orang pemimpin agama Hindu dari Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Johor, di mana sambutan Thaipusam dibuat secara besar-besaran.

Wakil-wakil daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) turut hadir, tambahnya.



“Semua cadangan SOP itu kemudian akan dibawa ke mesyuarat (pelbagai jawatankuasa) berikutnya yang dijangka diadakan dari 13 hingga 15 Dis, untuk mendapatkan kelulusan,” kata Halimah menjawab pertanyaan Sivakumar Naidu (PH-Batu Gajah) mengenai SOP sambutan Thaipusam.

Sivakumar turut bertanya sama ada gerai jualan dibenarkan dibuka di kuil bagi menambah pendapatan peniaga, lebih-lebih lagi memandangkan rumah ibadat ini telah ditutup hampir dua tahun.

Halimah berkata, kementeriannya telah mengenal pasti tujuh bidang yang perlu diberi perhatian berhubung perayaan itu, termasuk membabitkan pembukaan gerai.

“(Gerai jualan) tidak ada masalah, selagi mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Beliau berkata, SOP untuk sambutan perayaan Krismas juga akan diumumkan tidak lama lagi selepas perbincangan diadakan dengan pihak berkepentingan.

Pada Januari tahun ini, perarakan tahunan pedati Thaipusam diadakan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang tertakluk kepada SOP yang ketat dengan hanya 10 penganut dibenarkan mengiringinya.



fmt

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button