28 pengunjung, pemilik pusat hiburan dikompaun RM165,000
Polis mengeluarkan kompaun berjumlah RM165,000 terhadap pengunjung dan pemilik pusat hiburan di Jalan Klang Lama di sini, semalam, kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Dalam serbuan pada jam 10 malam, 28 pengunjung termasuk 12 wanita berusia dalam lingkungan 20-an hingga 50-an dikenakan kompaun RM140,000, manakala pemilik premis dikompaun RM25,000.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob, berkata tindakan kompaun mengikut Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit iaitu aktiviti terlarang dalam pub serta kelab malam ketika tempoh PPN Fasa 4 di ibu negara.
“Nilai keseluruhan kompaun yang dikeluarkan hasil serbuan malam tadi adalah berjumlah RM165,000.
“Operasi seperti ini akan terus dipertingkatkan dalam usaha mengawal penularan wabak COVID-19 khususnya dalam kalangan warga Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
BHonline