Pegawai Bomba dan Penyelamat meninggal dunia

Pegawai Bomba Segamat

 

Pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat yang cedera parah dalam operasi memadam kebakaran kilang Sabtu lalu meninggal dunia pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mazuki Ismail, berkata Pegawai Bomba (PB) Mohd Firdaus Sulaiman, 32, meninggal dunia pada jam 4.15 pagi di Hospital Segamat.

“Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sikamat, Negeri Sembilan,” katanya hari ini.

Dalam kejadian jam 10 pagi Sabtu lalu, seorang pegawai bomba dan seorang anggota pasukan tindakan kecemasan (ERT) kilang cedera parah, manakala seorang lagi pegawai bomba melecur akibat terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu.

Anggota ERT kilang yang parah dikenali sebagai Mohamad Azuraini Mahrani, 40, manakala pegawai bomba yang melecur adalah Pegawai Bomba Kanan II Khas Untuk Penyandang (KUP) Syed Putra Syed Mohd Al Atas, 52.

Kesan letupan menyebabkan Mohd Firdaus dan Mohamad Azuraini yang berada di tingkat tiga tercampak kira-kira 10 meter ke tingkat bawah manakala Syed Putra yang berada di tingkat bawah melecur di belakang kepala selepas terkena bahang letupan.

Akibat kejadian itu Mohd Firdaus dan Mohamad Azuraini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Segamat, manakala Syed Putra menerima rawatan pesakit luar di hospital sama.

BH



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button