Aliff Syukri mohon maaf, positif covid tahap tiga
Usahawan popular, Datuk Aliff Syukri memohon doa orang ramai selepas dia telah disahkan dijangkiti virus Covid-19 tahap tiga.
Aliff yang kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital membuat pendedahan tersebut menerusi Instagramnya.
“Kepada semua sahabat atau sesiapa sahaja yang mengenali saya, saya memohon kemaafan sekiranya pernah menyakiti awak, maaf sekiranya pernah terkasar, maaf sekiranya pernah mengumpat, termakan sengaja atau pun tidak.
“Sesungguhnya yang buruk itu datang daripada saya dan yang baik datang daripada Allah.
“Rasa lega sudah mohon maaf pada semua, takut-takut umur saya tidak panjang,” tulis Aliff dalam Instagramnya.
Dalam pada itu, Aliff turut memberitahu dia kini dirawat di hospital kerana virus tersebut sudah sampai ke bahagian paru-parunya.
“Doakan saya cepat sembuh kerana saya dijangkiti Covid tahap tiga melibatkan paru-paru saya. Saya telah ditahan di wad hospital untuk rawatan rapi. Doa kalian amat saya hargai,” tulisnya lagi.
Aliff yang baru sahaja pulang daripada percutian di Turki bersama keluarganya baru-baru ini telah di masukkan ke hospital sejak semalam.
Sementara ahli keluarganya yang lain hanya menjalani kuarantin kendiri di rumah.
Terdahulu, Aliff meluahkan rasa sedihnya apabila resort miliknya, Sugeh Hill Exclusive Eco Resort yang terletak di Janda Baik, Pahang hampir musnah dalam musibah banjir yang melanda beberapa buah negeri sebelum ini.
Ketika kejadian banjir tersebut, Aliff sedang bercuti di Istanbul, Turki. – K! ONLINE