Rossa tidak paksa anak ikut jejak

 

Melihat Rizky Langit Ramadhan, 15, mendalami dan meminati dunia komik, penyanyi popular dari Indonesia, Datuk Seri Rossa, 43, tidak memaksa anak tunggalnya itu mengikuti jejaknya.

Rossa berkata, dia lebih selesa membiarkan anak hasil perkahwinan bersama pemain dram kumpulan Padi, Yoyo itu bebas memilih haluan hidup tanpa dibayangi kerjaya seni ibu bapa.

“Rizky suka melukis kartun, jadi mungkin lebih senang bikin komik. Jika menyanyi, dia biasa-biasa sahaja, tidak terlalu minati. Sebaliknya, kalau melukis, dia minat sekali.

“Saya pula tidak terlalu mendedahkannya dengan dunia hiburan, hanya kadang-kadang sahaja. Sebab saya mahu hidupnya tidak terbatas dan dibayangi orang tuanya.

“Saya biarkan Rizky mencari sendiri apa yang disukai dan siapa dirinya sendiri,” katanya.

Bagi Rossa atau nama sebenarnya, Sri Rossa Roslaina Handayani, Rizky tidak memerlukan layanan istimewa hanya kerana anak Rossa dan Yoyo.

“Saya juga bukannya seorang yang perlu diberikan layanan istimewa, makanan enak dan tinggal di tempat mewah kerana saya adalah Rossa. Saya juga sama seperti orang lain.

“Jadi, saya mahukan Rizky tidak merasa istimewa kerana orang tuanya. Jika diizinkan Allah, saya berdoa Rizky diberikan rezeki yang lebih baik atas usahanya sendiri, mungkin lebih daripada orang tuanya,” katanya.

Terdahulu, Rossa yang popular dengan lagu Pudar dan Ayat-Ayat Cinta itu pernah mendirikan rumah tangga dengan Yoyo pada 2004. Hasil perkongsian hidup, dikurniakan Rizky.

Sejak berpisah pada 2009, Rossa masih sendiri sehingga hari ini. Mengulas soal pasangan hidup, Rossa berkata, dia tiada masalah sekiranya ada individu yang ingin berkenalan dengannya.

Namun, Rossa yang sudah 12 tahun menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal selesa dengan hidup solo dan hubungan cinta bukan keutamaan baginya.

“Mungkin tidak apa-apa jika sekadar mahu berkenalan. Saya okay sahaja boleh bersahabat seperti rakan lain juga.

“Namun, jika bercakap soal jodoh, saya lebih selesa serahkan kepada ketentuan Allah.

“Jujurnya, saya tidak pernah memikirkan soal jodoh dengan serius selepas bercerai. Soal saya mahu kembali hidup berumah tangga, mahupun serius dengan siapa, ia bukan menjadi keutamaan.

“Jodoh itu ketentuan Allah, saya pastinya berdoa mahukan jodoh yang baik-baik. Tetapi, bila jodoh tiba atau dengan siapa, saya yakin Allah lebih tahu soal ini,” katanya.

BHonline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button