Lantikan Azam Baki melalui proses tapisan keselamatan
Pelantikan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah melalui proses tertentu dalam perkhidmatan awam, termasuk tapisan keselamatan yang dilakukan pelbagai agensi.
Datuk Dr. Marzuki Mohamad yang juga bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelantikan Azam dibuat di bawah peruntukan Seksyen 5 Akta SPRM 2009.
Di bawah seksyen itu katanya, Ketua Pesuruhjaya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.
“Perdana Menteri pula seperti dalam pelantikan pegawai tinggi kerajaan yang lain, biasanya menerima syor daripada Ketua Setiausaha Negara atau mana-mana pihak yang diperuntukkan di bawah undang-undang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Marzuki berkata, syor berkenaan diangkat kepada Perdana Menteri dalam bentuk kertas cadangan pelantikan pegawai, iaitu di dalamnya terdapat laporan mengenai kelayakan pegawai dan justifikasi pelantikan.
“Terdapat proses tertentu dalam perkhidmatan awam yang menentukan kelayakan seseorang pegawai untuk dilantik ke mana-mana jawatan. Ia termasuk proses tapisan keselamatan dan keutuhan dibuat oleh pelbagai agensi dari semasa ke semasa.
“Bagi pegawai yang sedang berkhidmat pula, mereka tertakluk kepada pelbagai peraturan dan syarat termasuk pengisytiharan harta,” jelasnya.
Hantaran berkenaan dikeluarkan beliau bagi mengulas kenyataan Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia), Datuk Seri Azalina Othman Said, yang bertanya sama ada Muhyiddin membuat semakan latar belakang Azam sebelum dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Azam terpalit dengan isu pemilikan saham dan ia turut menimbulkan pandangan negatif terhadap suruhanjaya berkenaan.
Dalam pada itu, Marzuki berkata, terdapat borang tertentu yang perlu diisi serta kaedah tertentu perlu dipatuhi oleh seorang pegawai yang sedang berkhidmat dalam mengisytiharkan harta masing-masing.
“Azam adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM sebelum dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya dan saya percaya sebagai pegawai tinggi kerajaan yang sedang dalam perkhidmatan, beliau tertakluk kepada semua syarat dan proses ini sebelum dan selepas pelantikan dibuat.
“Jadi, tidak timbul soal sama ada Perdana Menteri kelapan membuat semakan latar belakang pegawai sebelum pelantikan itu dibuat. Proses pelantikan dibuat secara teratur mengikut peraturan dan kaedah yang ditetapkan.
“Sebarang isu yang timbul selepas itu perlu ditangani mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan yang sedang berkuatkuasa,” jelasnya.
Utusan
Kit Siang serang Azam untuk alih perhatian?