PERHILITAN siasat dakwaan kemunculan harimau
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) akan melakukan siasatan berhubung klip video tular memaparkan kemunculan seekor harimau di kawasan Kampung Santong, Paka, dekat sini, malam tadi.
Pengarah PERHILITAN Terengganu, Loo Kean Seong, berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung penemuan haiwan itu, namun akan segera menjalankan siasatan, termasuk membuat pemantauan dari semasa ke semasa.
“Memandangkan ada hutan simpan berdekatan, iaitu Hutan Simpan Rambai Daun, sekiranya tidak ada konflik atau kacau ganggu, biasanya kita akan pantau dan tindakan lain akan diambil mengikut keperluan,” katanya.
Video berdurasi 33 saat itu memaparkan kelibat harimau, dipercayai dirakam seorang pemandu kenderaan yang terserempak dengan haiwan itu yang keluar dari kawasan semak. Haiwan itu kemudian dipercayai melintas laluan berbatu di situ yang menjadi laluan digunakan penduduk kampung.
Rata-rata pengguna Facebook terkejut dan bimbang dengan kemunculan haiwan berkenaan.
Ia menyusul selepas kejadian 14 Januari lalu apabila seorang penternak, Ramli Mohamad, 65, dari Kampung Chabang, Kerteh, mendapati seekor daripada 25 lembu ternakannya mati dipercayai dibaham harimau yang sehingga kini belum ditangkap.
BHOnline