Dakwa Anuar Zain ‘gay’, Vida mohon maaf
Usahawan sensasi dan kontroversi, Datuk Seri Vida membuat permohonan maaf secara terbuka kepada penyanyi terkenal, Anuar Zain dan keluarga termasuk seluruh rakyat Malaysia kerana mendakwa penyanyi itu ‘gay’.
Vida menerusi perkongsian video berdurasi satu minit 49 saat dimuat naik di Instagram itu berkata, dia memohon maaf di atas kekhilafan dan kekeliruan berlaku disebabkan tutur katanya yang mengguris hati banyak pihak.
“Saya mohon maaf atas kekhilafan, atas kekeliruan, atas mungkin perkataan saya yang mengguris hati banyak pihak, peminat, keluarga Zain, Anuar Zain, saya mohon maaf banyak- banyak.
“Saya tidak bermaksud, saya tidak berniat. Mungkin terlepas cakap atau gurauan tanpa sengaja. Saya tak boleh ‘recall’ balik apa yang saya cakapkan itu kerana benda sudah lama. Jadi, baru sekarang ini muncul. Jadi, apapun saya minta maaf kerana saya tidak berniat langsung dan saya sangat-sangat meminati Anuar Zain,” katanya yang turut mengakui dia adalah peminat setia Anuar Zain.
Dalam masa sama, Vida juga berharap dia dapat berjumpa ‘in person’ bersama Anuar bagi berkongsi hasrat besarnya termasuk projek besar juga untuk penyanyi terbabit.
Semalam, Harian Metro melaporkan Vida dikecam teruk netizen berikutan dakwaannya mengatakan Anuar ‘gay’ menerusi video yang dimuat naik di TikTok.
Video berdurasi kurang 15 saat itu memaparkan Vida menjawab pertanyaan seseorang yang meminta dia untuk memikat Anuar untuk dijadikan suami.
Menerusi video yang dimuat naik seorang pengguna laman sosial lain, ruangan komen dibanjiri dengan kritikan dan kecaman atas tindakan Vida itu, termasuk penyanyi Ziana Zain juga kakak Anuar menyifatkan kelakuan dan tindakan Vida sangat biadap.
Sehubungan itu, ramai dalam kalangan netizen memohon Anuar mengambil tindakan undang-undang terhadap Vida yang dianggap sangat keterlaluan.