40 rumah di Kampung Kebun Bunga rosak akibat ribut, hujan batu
Kira-kira 40 rumah di Kampung Kebun Bunga, Seksyen 22 di sini, rosak akibat hujan lebat dan ribut yang disertai hujan batu di kawasan itu petang semalam.
Pemangku Ketua Kampung Batu 3 Mohd Syafiq Ali Bajunid Omar berkata, hujan lebat yang bermula pada 5.30 petang turut disertai pusaran angin kecil yang mengakibatkan berpuluh-puluh bumbung rumah penduduk diterbangkan angin.
“Setakat ini, tiada kecederaan dilaporkan dan pihak kami bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat sudah membuka pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna MBSJ Batu Tiga untuk kemudahan penduduk yang terkesan akibat ribut petang tadi,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, PPS itu yang sebelum ini menempatkan mangsa banjir dari kampung sama baru sahaja ditutup pada awal bulan ini.
Tinjauan Bernama malam tadi mendapati kawasan sekitar kampung itu masih bergelap kerana terputus bekalan elektrik sejak petang semalam selepas beberapa tiang elektrik tumbang akibat kejadian ribut berkenaan.
Seorang suri rumah, Norhaslinda Nayan, 43, berkata, kejadian ribut seperti itu adalah yang pertama dialaminya sejak lebih 20 tahun menetap di situ.
“Ribut yang melanda tidak begitu lama namun cukup menggerunkan seperti ada puting beliung di atas bumbung dan bunyi hujan di luar seolah-seolah hujan batu kerana terlalu kuat,” katanya.
Menurutnya, kediamannya yang baru sahaja dicuci susulan banjir pada akhir tahun lalu sekali lagi terpaksa dibersihkan kerana ribut turut merosakkan bahagian bumbung sehingga menyebabkan seluruh bahagian dalam rumah basah.
“Ketika banjir baru-baru ini, air naik sehingga paras siling rumah, saya baru sahaja balik dari PPS awal bulan ini namun tidak sampai beberapa hari, sekali lagi kami diduga dengan ribut seperti ini,” katanya.
Norhaslinda berkata, dia tidak berpindah ke PPS malam ini kerana suaminya sudah memasang kepingan aluminium di bahagian bumbung rumah mereka yang terjejas.
metro