Kerani didenda miliki bahan lucah dalam telefon bimbit
Seorang kerani syarikat jualan didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memiliki video, gambar dan bahan lucah dalam telefon bimbit pada Mac tahun lalu.
Asyraf Hafizuddin Abdul Jalil, 26, dari Arau hanya mengangguk faham dan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki 80 gambar lucah, 163 video lucah dan satu fail lucah berformat PDF dalam telefon bimbit jenama Samsung Galaxy A50 model SM-A505F/DS di sebuah premis di Taman Jelempok Jaya, Kampung Utan Kandis di Arau.
Dia didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Fazril Sani Mohamed Fazil manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman yang berat terhadap Asyraf Hafizuddin sebagai pengajaran kepada masyarakat.
Tertuduh merayu dikenakan hukuman ringan kerana dia sudah bertaubat dan menyesali perbuatannya itu.
Selain itu, tertuduh juga mengatakan bahawa dia baru sahaja melangsungkan perkahwinan serta mendapat pekerjaan dengan gaji sekitar RM1,000 lebih dan kini tinggal bersama mentuanya yang mengalami masalah kesihatan.
Kamaliza kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,500 terhadap tertuduh, selain 12 bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.
Asyraf kemudian membayar denda yang dikemukakan mahkamah.
BHOnline