Ini barisan terkuat Liverpool – Klopp

 

Jurgen Klopp berkata Liverpool kini memiliki skuad terkuat sepanjang tempohnya di Anfield.

Klopp berpeluang menjulang empat kejuaraan dengan Liverpool masih bersaing mengejar gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) sambil bersedia untuk kelompok 16 terakhir pusingan pertama Liga Juara-Juara menentang Inter Milan.

Skuad Reds juga masih ada final Piala Liga berdepan Chelsea dan mara ke pusingan kelima Piala FA berdepan Norwich.

Tidak pernah sebelum ini Klopp berpeluang menang empat kejuaraan utama dalam semusim dan bos Liverpool itu percaya ia akan bergantung kepada kekuatan dan kualiti skuad yang dikumpulkan dekat Anfield.

Kehadiran penyerang Colombia, Luis Diaz pada Januari, ditambah kepulangan Sadio Mane dan Mohamed Salah daripada tugasan di Piala Negara-Negara Afrika.

Malah, barisan Liverpool yang menang Liga Juara-Juara 2019 dan juara Liga Perdana 2020 tidak boleh dibandingkan dengan skuad dimiliki Klopp ketika ini.

“Ini adalah skuad terkuat, sudah tentu, tiada keraguan mengenainya,” kata Klopp.

“Memalukan jika ia adalah sebaliknya apabila kami akan menjadi lemah selepas bertahun-tahun.

“Kami sentiasa ada skuad yang kuat dan kami tidak boleh bersaing dalam empat kejohanan sebelum ini ialah kerana sebab yang berbeza.

“Perancangan masa dalam kehidupan adalah penting seperti juga dalam bola sepak, apabila anda melalui Disember dengan hanya tiga roda dan Januari sedikit bergoyang apabila kejohanan merebut piala bermula dengan bagus.

“Pada ketika ini kami tahu kami ada skuad yang benar-benar bagus sama seperti pasukan lain.”

Untuk Liverpool menang empat kejuaraan, mereka mesti mengatasi Manchester City, yang kini mencipta jurang 12 mata di persada EPL dengan kemenangan berdepan Brentford, pagi tadi.

Skuad Klopp boleh mengurangkan jurang kepada sembilan mata jika mereka menang dua baki perlawanan mereka berbanding City apabila menanti Leicester esok.

– AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button