Pengundi Cina beralih angin ke BN
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa terdapat masyarakat Cina di Johor mula beralih angin dan kembali menerima Barisan Nasional.
Penasihat BN itu berkata, beliau membuat kesimpulan terbabit berdasarkan sambutan hangat yang diterimanya sejak beberapa hari lalu di Johor.
Beliau berkata, perubahan sentimen dan penerimaan terhadap calon BN adalah sangat berbeza berbanding situasi sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di mana gabungan itu kehilangan kedua-dua pentadbiran negeri dan pusat.
“Saya dapat lihat sokongan masyarakat Cina semakin meningkat dan kukuh di sini.
“Jika dilihat sambutan hangat pagi ini, ini bukanlah sesuatu yang kita saksikan sebelum PRU14.
“Sokongan itu juga dapat dilihat di kalangan belia, dengan salah seorang daripada mereka memakai t-shirt ‘Bossku’ dan dia juga merupakan pengundi kali pertama.
“Kita mohon rakyat membuat keputusan yang tepat pada 12 Mac ini kerana realitinya, (BN) sahaja yang memiliki kebolehan dan pengalaman untuk menerajui pentadbiran yang stabil,” katanya.
Najib berkata demikian ketika program sarapan pagi bersama calon MCA bagi kerusi DUN Perling, Tan Hiang Kee yang juga Ketua Wanita MCA Pulai.
Tan akan menentang Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong dan naib presiden Gerakan Koo Shiaw Lee dalam pemilihan akan datang.