Will Smith mohon maaf, menang Pelakon Lelaki Terbaik
Los Angeles: Selepas insiden menampar pelawak Chris Rock secara langsung, bintang Hollywood, Will Smith sekali lagi naik ke pentas untuk menerima anugerah Oscars pertamanya sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di acara Academy Awards ke-94 itu.
Smith menggondol kemenangan menerusi watak Richard Williams dalam filem King Richard yang dibintanginya dan turut membuat permohonan maaf kepada penganjur dan calon-calon lain atas tindakannya sebelum itu.
“Saya tahu apa yang kita buat kadangkala akan membuatkan orang bercakap mengenai kita.
“Dalam bidang ini, kita kena berdepan dengan situasi apabila orang tidak hormat kepada kita dan kita terpaksa senyum saja,” katanya.
Dengan linangan air mata, Smith turut berkongsi pesanan daripada sahabatnya yang juga calon dalam kategori sama, Denzel Washington.
“Ketika kita berada dalam zaman kegemilangan, ketika itulah ‘syaitan’ akan datang kepada kita,” katanya.
King Richard mengisahkan mengenai perjalanan Richard Williams, bapa kepada dua bintang tenis dunia, Venus dan Serena Williams dalam menjaga keluarga dan membawa anak-anaknya sehingga menjadi pemain profesional.
Harian Metro