Aliran trafik keluar Lembah Klang terkawal
KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama menuju keluar dari Lembah Klang, masih terkawal tanpa kesesakan luar biasa, setakat malam tadi, walaupun cuti hujung minggu dan Ramadan mula disambut esok.
Warga Lembah Klang dijangka pulang ke kampung halaman sempena cuti hujung minggu dan sambutan awal Ramadan bersama keluarga dan sanak saudara selepas dua tahun ‘kempunan’ untuk balik ke kampung susulan pandemik COVID-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan sebelum ini.
Tinjauan Bernama di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Jalan Duta, di sini, yang merupakan laluan utama warga Lembah Klang untuk ke Pantai Timur serta utara tanah air, mendapati jumlah kenderaan dan aliran trafik semakin meningkat tetapi masih terkawal, malam tadi.
Jurucakap Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) ketika dihubungi Bernama memaklumkan, aliran trafik sedikit perlahan selepas Plaza Tol Gombak menghala ke Bentong kerana pertambahan kenderaan serta terdapat sebuah lori rosak yang mengakibatkan kesesakan sepanjang kira-kira lima kilometer (km).
Bagi Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dari Bangi menuju ke Seremban, trafik juga agak perlahan sejak petang yang mengakibatkan kesesakan kira-kira 8.4km,” katanya.
Sementara itu, pengguna lebuh raya yang juga kakitangan kerajaan, Ahmad Yussra Azmin, 31, berkata beliau pulang ke kampung di Kota Bharu, Kelantan, malam tadi, selepas hampir dua tahun tidak dapat menyambut Ramadan bersama ibu bapa.
“Selepas habis kerja pada petang tadi (semalam), saya terus balik rumah dan mengemas barang-barang untuk bertolak pulang ke kampung pada sebelah malam,” katanya.
Bagi pekerja swasta, Syaza Farhani Rahmatullah, 36, ini adalah kali pertama anak sulungnya yang berusia setahun pulang ke kampung untuk berjumpa datuk nenek, selepas mereka tidak dapat berbuat demikian sebelum ini atas kekangan wabak COVID-19.
“Suami saya susah untuk dapat cuti. Justeru, kali ini kami merancang lebih awal untuk pulang ke kampung. Alhamdulillah dengan kepulangan ini, kami dapat menyambut Ramadan bersama keluarga di Kedah,” katanya.
BERNAMA