Hatrik Benzema benam Chelsea
London: Carlo Ancelotti menyanjung jaringan hatrik Karim Benzema bagi membantu Real Madrid menang 3-1 ke atas Chelsea, sekali gus menyaksikan juara bertahan Liga Juara-Juara Eropah itu di ambang penyingkiran selepas perlawanan suku akhir pertama, malam tadi.
Benzema menampilkan kehebatan di Stamford Bridge apabila penyerang Perancis itu menanduk masuk dua gol pada babak pertama.
Kai Havertz merapatkan jurang sebelum rehat, tetapi Benzema menghukum kesilapan penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy pada babak kedua unutk melengkapkan malam gemilangnya.
Ia adalah hatrik kedua berturut-turut Benzema pada aksi Liga Juara-Juara Eropah selepas dia mencipta kebangkitan sensasi untuk menyingkirkan Paris Saint-Germain pada aksi kedua pusingan 16 terakhir.
Anak buah Ancelotti kini berada dalam keadaan terbaik untuk mara ke separuh akhir menjelang perlawanan kedua di Madrid pada 12 April.
Selepas kecundang di tangan Chelsea di separuh akhir liga itu musim lalu, Real kini berpeluang cerah membalas dendam di Bernabeu.
“Kami memperoleh prestasi hebat daripada Benzema di bahagian depan,” kata Ancelotti.
“Dia semakin baik setiap hari seperti wain. Kami bermain dengan baik dan ia adalah malam yang bagus.
“Kami memiliki kelebihan, tetapi perlu menghormati lawan yang juga juara musim lalu.”
Real menang gelaran ke-13 Liga Juara-Juara Eropah pada 2018 dan mereka mungkin bukan pasukan pilihan pada musim ini, tetapi kemenangan di barat London itu adalah amaran awal pendahulu La Liga itu.
Berbekalkan 11 gol pada musim ini, Benzema menjaringkan lebih banyak berbanding pemain Perancis lain dalam kempen Piala Eropah pada semusim, mengatasi Just Fontaine yang menjaringkan 10 gol pada 1958-59.
METRO