Pertemuan Liverpool-City bukan penentu gelaran

LONDON: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memberi amaran bahawa pertemuan Ahad ini berdepan Manchester City bukanlah penentu gelaran Liga Perdana.

Kemenangan di Stadium Etihad akan memberikan Liverpool kejayaan ke-11 berturut-turut dalam liga dan dua mata di depan City di persada liga berbaki tujuh perlawanan.

Jika menang berdepan City sekalipun, tiada jaminan Liverpool akan menamatkan musim dengan lancar ketika aksi bertemu tetangga, Everton dan Manchester United akan berlangsung sebelum penghujung bulan.



Liverpool akan membuat perjalanan pendek ke Manchester selepas menang 3-1 di Benfica dalam aksi pertama suku akhir Liga Juara-Juara, keputusan yang memberikan peluang cerah buata juara Eropah enam kali itu mara ke kelompok empat terakhir.

“Jika kami menang menentang City, yang jelas sukar, saya rasa tiada siapa akan terfikir ‘itu adalah penentu’, kerana kualiti lawan,” kata Klopp.

“Kini kami bermain menentang pasukan terbaik dunia, tapi kami tetap akan cuba.

“Semua orang tahu mengenai kepentingan perlawanan seterusnya, tapi selepas ini ada lagi perlawanan dalam kejohanan lain selain aksi Liga Perdana.



“Jika anda tidak boleh menjadi yang pertama, anda mahu jadi yang kedua. Jika anda di belakang, anda mahu menjadi lebih rapat. Jika anda rapat pasti anda mahu memintas.

“Itulah situasinya dan kami akan mencuba sebaik mungkin.”

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button