Al-Quran temanku di mana sahaja

Tawau: Meskipun sibuk dengan kerja dan sering ‘terkejar’ ke sana sini, penghantar makanan persendirian, Mohd Rahmat Mohd Amin tetap mencuri masanya untuk membaca al-Quran.

Kisahnya itu mendapat perhatian selepas gambarnya membaca al-Quran dimuat naik di laman sosial oleh seorang individu hingga tular.

Mohd Rahmat, 26, yang menetap Kampung Sri Menanti, di sini berkata, dia tidak sedar ada individu mengambil gambarnya ketika itu kerana sedang khusyuk membaca al-Quran.



“Saya sedang berehat daripada kerja ketika itu dan sementara menunggu pesanan masuk, saya luangkan masa membaca al-Quran.

“Itu sudah menjadi rutin saya setiap hari dan pada hari berkenaan, saya duduk membaca (al-Quran) di tepi laut.

“Tak tahu pula, ada yang perasan dan mengambil gambar namun saya hanya tahu ia (gambar) dimuat naik selepas ramai rakan ‘tag’ di Facebook (Fb),” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Mohd Rahmat, dia bagaimanapun tidak marah, sebaliknya sudah bersua dengan individu yang mengambil gambarnya tidak lama selepas kisahnya tular.



Bercerita lanjut, Mohd Rahmat berkata, sudah menjadi tabiatnya untuk membawa al-Quran ke mana saja termasuk ketika bekerja.

Kebiasaannya, Mohd Rahmat akan memilih tempat lebih tersorok kerana enggan diperhatikan orang sekeliling disebabkan malu.

“Saya tidak mahu menunjuk kerana bimbang niat asal akan berubah dan tersasar jika orang sekeliling nampak.

“Bagaimanapun, saya sedia membantu mereka yang berminat untuk belajar.



“Alhamdulillah, waktu kerja kini lebih fleksibel kerana bekerja sendiri berbanding ketika jadi pemborong dulu kerana selain dapat solat tepat pada waktunya, saya juga boleh luangkan masa dengan mengaji,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabran, 35, berkata, dia ternampak Mohd Rahmat membaca al-Quran ketika dalam perjalanan pulang ke rumah pada Khamis lalu jam 4.40 petang.

“Ketika itu, saya sedang memandu dan selepas nampak kelibatnya (Mohd Rahmat) di seberang jalan, saya terus mengambil gambar menggunakan telefon bimbit.

“Kemudian, saya muat naik gambar itu di laman sosial dengan tujuan sekadar berkongsi kisah positif yang boleh menjadi ikutan rakan pengikut di laman sosial.



“Alhamdulillah, dia tidak marah malah kami sudah berjumpa dan saya berbesar hati kerana dapat belanjanya makan ketika pertemuan tempoh hari,” katanya yang juga peniaga makanan dan kontraktor.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button