Bayi lima bulan boleh kunyah makanan pepejal
London: Usianya baru lima bulan, namun bayi ketiga terbesar di Britain ini bukan hanya perlu memakai pakaian lebih besar berbanding usianya, malah dia sudah boleh mengunyah makanan pejal.
Alpha Stone Mitchell yang dilahirkan dengan berat 6.35 kilogram, secara pembedahan Oktober lalu, membesar pantas berbanding usia rakan sebayanya.
Ibunya Cherral Mitchell, 31, dari Oxfordshire berkata, perkembangan drastik tidak selari pembesaran bayi biasa, sebaliknya anak lelakinya itu seakan ‘melangkau’ terus ke peringkat usia tiga hingga enam bulan.
Ibu yang memiliki anak lain berusia satu hingga lima tahun itu berkata, Alpha juga sudah mula makan bubur serta biskut bayi berbanding waktu yang ditetapkan enam bulan ke atas.
“Kami cuma mula perkenalkan bubur bayi kerana dia nampak macam kelaparan pada waktu pagi.
“Walaupun belum sampai enam bulan lagi, ia tidak menjejaskan sistem penghadaman,” katanya memetik laporan portal Metro UK.
Katanya, disebabkan Alpha tinggi, dia perlu duduk di kerusi kereta hingga ramai tersilap menyangka dia kembar kakaknya yang berumur setahun, Twyla-Bay.
“Saya tidak pernah ada anak seberat dia ketika dilahirkan.
“Doktor percaya ini adalah disebabkan oleh diabetes yang saya hidapi ketika hamil,” katanya.
METRO