Ramai pelajar Muslim di AS mangsa buli Islamofobia

HOUSTON: Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) mengakui sikap dan pandangan berkaitan kebencian terhadap umat Islam atau Islamofobia masih wujud dan berleluasa di sekolah awam di Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan terkini CAIR, dalam temu bual bersama 700 pelajar Muslim di sekolah di negeri California mendapati berlaku masalah buli, gangguan dan diskriminasi oleh rakan-rakan dan orang dewasa, termasuk guru, atas sebab pegangan agama mereka.

“Pelajar Muslim pelbagai umur dipulaukan dan diberi layanan buruk oleh kerana pegangan agama mereka dan tanggapan salah yang mengaitkan mereka dengan serangan 9/11 dan aksi-aksi keganasan lain,” kata Peguam Hak Sivil CAIR di California yang menjalankan kajian tersebut. Amr Shabaik.



“Selalunya, kejadian sedemikian dilihat dalam pelajar itu dibuli pelajar-pelajar lain, kurangnya langkah-langkah pencegahan dan laporan oleh pegawai sekolah dan latihan untuk guru tentang cara menjadi pengantara serta menangani insiden buli berbaur keagamaan dan perkauman,” katanya kepada agensi berita Agensi Anadolu.

Menurut laporan itu hampir separuh pelajar atau 47.1 peratus, dibuli kerana beragama Islam. Jumlah itu lebih sekali ganda purata nasional yang dilaporkan, iaitu 20 peratus.

“Saya sering dipanggil Osama bin Laden oleh lelaki yang selalu memberitahu saya yang saya kelihatan “cantik ,eletup” dengan menekankan perkataan meletup,” kata seorang pelajar perempuan yang berusia 18 tahun dari Brentwood yang ditemu bual untuk kajian berkenaan.

Lebih setengah daripada responden atau 55.73 peratus, berasa tidak selamat, tidak diterima atau tidak selesa di sekolah oleh kerana identiti Muslim mereka.



Itu adalah tahap yang paling tinggi dilaporkan sejak CAIR-California mula menjalankan kajian mereka pada 2013.

Laporan itu juga mendapati satu pertiga pelajar atau 30.12 peratus, yang memakai hijab melaporkan tudung mereka pernah ditarik atau dipegang dengan cara yang menyinggung perasaan.

“Ramai meluahkan kata-kata kesat kerana saya seorang Muslim.

“Mereka mengejek saya dan mencaci Islam. Hijab saya pun pernah ditarik oleh rakan sekelas tanpa sebab,” kata seorang wanita yang berusia 18 tahun dari Redwood.



Selain itu, laporan tersebut mendapati bahawa hampir sepertiga pelajar mengalami atau menyaksikan pembulian siber.

Satu daripada dapatan kajian yang lebih membimbangkan ialah hampir suku responden atau 23.5 peratus, melaporkan bahawa seorang guru, pentadbir atau orang dewasa lain di sekolah mereka meluahkan kata-kata kesat mengenai Islam atau umat Islam.

Pengarah Bersekutu di Institut Boniuk bagi Toleransi Keagamaan di Universiti Rice, Profesor Zahra Jamal, memberitahu Agensi Anadolu bahawa perbuatan buli dan sifat perkauman mempunyai pelbagai kesan termasuk emosi, fizikal dan juga kesan sosial.

“Segelintir anak muda Muslim mengalami keresahan, kemurungan, sukar tidur dan keyakinan diri yang rendah, manakala ada juga rasa mereka harus pilih antara menjadi seorang rakyat Amerika atau seorang Muslim di sekolah.



“Malangnya, 55 peratus rasa tidak selamat di sekolah kerana pegangan agama mereka, 32 peratus menyembunyikan identiti Muslim mereka, manakala 20 peratus ponteng sekolah kerana tidak rasa selamat dan tidak diterima di sekolah,” katanya.

Untuk mengatasi trend Islamofobia di sekolah, Profesor Zahra menekankan budaya menganggap Muslim sebagai pengganas harus berubah.

AGENSI



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button