Ten Hag akan kembalikan kegemilangan Man Utd

MANCHESTER, United Kingdom: Erik ten Hag berkata dia tekad membawa kejayaan kembali ke Manchester United selepas bos Ajax itu disahkan sebagai pengurus baharu kelab bermasalah itu untuk musim depan.

Ten Hag, yang menandatangani kontrak selama tiga tahun, berdepan cabaran besar untuk mengubah United selepas lima kempen tanpa sebarang trofi.

Pengendali dari Belanda berusia 52 tahun itu menjadi pengurus tetap kelima di Old Trafford sejak Alex Ferguson bersara pada 2013 yang menyebabkan juara 20 kali England itu mengalami penurunan mengejutkan.



Ten Hag dalam landasan terbaik untuk menang gelaran liga ketiga bersama Ajax dan membawa kelab Belanda itu ke separuh akhir Liga Juara-Juara pada 2019 pertama kali dalam 22 tahun.

Memecahkan dominasi Manchester City dan Liverpool menjadi cabaran utama kemampuan Ten Hag namun dia tidak sabar menantikan tugasan itu.

“Menjadi satu penghormatan besar dilantik sebagai pengurus Manchester United dan saya sangat teruja dengan cabaran bakal dihadapi,” katanya.

“Saya tahu sejarah kelab yang hebat ini dan keghairahan penyokongnya, dan saya tekad untuk membangunkan kemampuan pasukan bagi mendapatkan kejayaan yang mereka sepatutnya layak.



“Ia pastinya sesuatu yang sukar meninggalkan Ajax selepas tahun-tahun yang menakjubkan dan saya akan pastikan penyokong kami melihat komitmen lengkap dan fokus saya untuk menamatkan musim ini dengan berjaya sebelum saya berpindah ke Manchester United.”

United berkedudukan keenam Liga Perdana, 23 mata di belakang pendahulu, Manchester City dan belum pasti layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button