Shila, SOG nyanyi lagu kempen #Seikhlas Hati
KUALA LUMPUR: Kejayaan Shila Amzah dan kumpulan indie, Sekumpulan Orang Gila (SOG) diangkat juara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36 membawa tuah berpanjangan apabila dipilih Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad menghasil dan menyanyikan lagu raya bagi kempen bertemakan #Seikhlas Hati.
Lagu berjudul Seikhlas Hati hasil ciptaan Raja Nazmin Shah, manakala lirik pula ditulis oleh Shila.
Biarpun diberikan tempoh selama empat hari untuk menyiapkan lagu Seikhlas Hati, Shila mahupun SOG berjaya memenuhi permintaan menghasilkan lagu tema raya dalam tempoh singkat.
Raja Nazmin berkata, meskipun menyiapkan melodi lagu dalam tempoh singkat, dia dapat memastikan lagu dihasilkan diterima terutama kanak-kanak.
“Saya cuba mencari melodi menarik perhatian golongan kanak-kanak untuk menyanyikannya, terutama pada bahagian korus. Jika ia berjaya mendapat perhatian, bermakna berjayalah lagu ini.
“Sebenarnya, kami sudah terbiasa dengan keadaan ini, jadi tidak susah menyiapkan lagu dalam tempoh singkat. Walaupun SOG berkonsepkan rock alternatif, tetapi kami tiada masalah menyelitkan elemen pop dalam lagu.
“Cuma, kami perlu pastikan kanak-kanak ‘enjoy’ mendengar lagu ini,” kata Raja Nazmin kepada BH Online.
Shila berkata, lirik lagu Seikhlas Hati dihasilkan mengikut keadaan semasa di mana hampir dua tahun meraikan Syawal dalam suasana norma baharu.
Justeru, dia menyeru agar tiada yang bermasam muka pada hari mulia itu.
“Kami cuba memberikan hasil kerja yang memenuhi kehendak stesen televisyen (TV). Alhamdulillah, tidak banyak perubahan dilakukan. Hanya ada satu dua perkataan yang perlu ditukar dan paling penting, perkataan Seikhlas Hati wajib diselitkan dalam lirik lagu kami.
“Selalunya apabila menghasilkan lagu kena fikirkan judul, tetapi kerja kami menjadi lebih mudah kerana judulnya sudah ditentukan. Apapun, saya dan SOG sangat seronok kerana kami memang mempunyai perancangan untuk berkolaborasi sekali lagi selepas lagu Pelukan Angkasa.
“Namun, kami tidak sangka akan berkolaborasi menerusi lagu raya,” kata Shila.
Shila dan SOG bakal mendendangkan lagu Seikhlas Hati menerusi program tonton Soundstage: Shila Amzah & Friends yang akan menemui penonton pada 7 Mei depan, jam 10 malam di TV3 dan platform Tonton.
Penerbit Eksekutif, Nurhul Huda Khalid, berkata program berdurasi satu jam itu tidak bertemakan raya, sebaliknya lebih kepada program hiburan santai.
Bagaimanapun, katanya, Shila dan SOG akan menyanyikan lagu Seikhlas Hati pada penghujung program.
“Konsep program ini lebih kepada perjalanan kerjaya seni dan kehidupan artis dipilih sebagai tetamu setiap minggu.
“Menerusi tonton Soundstage: Shila Amzah & Friends, TV3 memaparkan kisah Shila dan turut mengundang beberapa rakan baik dan penggiat muzik yang pernah bekerja dengan Shila.
“Ini juga kali pertama mengumpulkan tiga sahabat baiknya, Jihan Muse, Fara Fauzana dan Zara Zya dalam satu program.
“Selain itu, kami turut mengundang Jaclyn Victor, Ning Baizura dan tidak ketinggalan, SOG bagi memeriahkan lagi acara memandangkan mereka baru menang juara AJL 36, baru-baru ini.
“Kita merancang menjadikan ia sebagai program mingguan. Bagaimanapun, perkara ini masih lagi dibincangkan dengan pihak pengurusan,” kata Nurhul Huda.
Demi keselamatan dan kesihatan kru dan artis, rakaman program tonton Soundstage: Shila Amzah & Friends yang diadakan di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam tidak membabitkan penonton di studio.
Sementara itu, mengulas pemilihan Shila sebagai artis jemputan pertama, Nurhul Huda berkata, Shila mempunyai kekuatan yang ramai ingin tahu.
Menerusi program itu, katanya, terdapat sesi temubual dilakukan pasukan produksi bersama Shila.
Selain itu, katanya, terdapat segmen sesi berborak antara Shila bersama tiga teman baiknya yang berlainan cabang seni, tetapi boleh menjalin hubungan akrab.
“Shila bersama Jihan, Zara dan Fara akan menyampaikan lagu berjudul Bunga Api Di Hati.
“Selain itu, Shila bersama Ning dan Jaclyn akan mendendangkan tiga lagu, Beribu Sesalan serta lagu medley, Ikut Rentakku dan Drama,” katanya.
BHOnline