Nasi khoumok laris dan menjadi rebutan ramai
Kota Bharu: Rahsia rempah ratus dari Thailand menjadikan nasi khoumok yang dijual di Bazar Ramadan Cabang Tiga, Kedai Buloh di Jalan PCB di sini, laris dan menjadi rebutan ramai.
Keenakan nasi khoumok berkenaan bukan sahaja menarik pembeli dari sekitar kawasan berdekatan, malah dari daerah lain termasuk Machang, Tanah Merah, Jeli dan Kuala Krai.
Pengusaha nasi khoumok, Rosnani Mat, 29, berkata, resipi nasi itu asli daripada air tangan ibunya, Sukanya Mohamad, 60, yang berasal dari Narathiwat, Thailand.
Katanya, ibunya berhijrah ke Kelantan lebih 30 tahun lalu dan berkahwin dengan Allahyarham bapanya, Mat Harun, 73, sebelum mereka membuka gerai menjual nasi khoumok, 30 tahun lalu.
“Sepanjang tempoh itu, beberapa kali ibu berpindah tempat jualan sebelum kekal di lokasi ini sejak 15 tahun yang lalu selepas mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan.
“Ibu kemudian memperturunkan ilmu membuat nasi khoumok kepada saya bagi meneruskan warisan ini supaya ia dapat diteruskan untuk masa hadapan kami.
“Alhamdulillah sepanjang Ramadan ini, setiap hari sebanyak 800 bungkus nasi khoumok boleh dijual. Kami menggunakan 50 kilogram (kg) beras dan 120 ekor ayam untuk menghasilkan 800 bungkus nasi khoumok,” katanya.
Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, disebabkan harga ayam dan barangan naik, dia menaikkan harga jualan daripada RM4.50 kepada RM5 sebungkus sejak tiga bulan lalu.
Menurutnya, walaupun harga naik, pelanggan memahami dan tidak mengeluh, malah jumlahnya makin bertambah.
Ibu kepada lima anak berusia sembilan bulan hingga 12 tahun berkata, untuk membuat nasi khoumok, dia dan suami, Zamri Hassan, 32, mengupah 20 pekerja terdiri saudara-mara dan jiran-jiran.
“Seawal jam 6 pagi, kami sudah memulakan kerja di rumah ibu di Wakaf Mek Zainab dan memulakan jualan di bazar Ramadan bermula jam 3 petang.
“Namun, pada jam 2 petang kami sudah sampai di bazar Ramadan untuk membuat persediaan menjual dan sudah ada pelanggan yang sanggup menunggu untuk membeli juadah kami.
“Saya bersyukur kerana ramai pelanggan menyukai masakan ini dan mereka datang bukan sahaja dari lokasi ini, malah dari daerah yang lain,” katanya.
METRO