Hidup bersama sampah jadi pilihan penghuni Flat SEDC
PASIR GUDANG: Kekotoran yang dibuang secara sesuka hati termasuk dilempar ke bawah daripada kediaman tingkat atas bagaikan lumrah di sebuah kediaman berstrata di sini.
Sikap kebanyakan penduduk terbabit menjadikan Blok 23, Flat SEDC dekat Taman Air Biru di sini, dipenuhi sampah dan kotoran tidak terurus sejak dua tahun lalu.
Penduduk, Suriani Omar, 46, mendakwa masalah itu berlaku kerana tiada pihak yang mengurus soal penyelenggaraan flat yang berusia lebih 20 tahun itu.
Beliau berkata, sikap tidak bertanggungjawab segelintir penghuni juga memburukkan keadaan.
Katanya, ia berikutan penghuni termasuk warga tempatan dan asing di situ, gemar melempar sampah dari tingkat atas ke kawasan semak yang terletak di belakang flat berkenaan.
“Baru-baru ini kami ada menganjurkan aktiviti gotong-royong, bagaimanapun hanya beberapa keluarga yang memberi sambutan sebaliknya penghuni lain langsung tidak mahu mengambil tahu dan sanggup berkurung dalam rumah.
“Sejak dua tahun lalu, kami tiada ketua blok bagi mengurus soal penyelenggaraan hingga ia mengakibatkan keadaan flat berkenaan semakin buruk termasuk dipenuhi sampah.
“Kami juga pernah bercadang supaya setiap isi rumah di setiap unit flat menyumbang sejumlah wang bagi mengindahkan flat, namun penghuni tidak memberi sambutan dengan alasan mereka bukan pemilik rumah,” katanya yang menghuni di flat berkenaan sejak 16 tahun lalu.
Sementara itu, Hassan Abdullah, 40, berkata pada setiap malam keluarganya juga dikejutkan bunyi penduduk membuang sampah dari tingkat atas.
Menurutnya, walaupun ada kemudahan tong sampah namun penghuni mengambil jalan mudah berkenaan.
“Kebanyakan penghuni di sini adalah penyewa dan kediaman ini adalah flat persendirian. Kami difahamkan unit flat sukar dijual kerana dalam keadaan serba kekurangan.
“Keseluruhannya ada 31 unit kediaman di sini dan hampir kesemuanya berpenghuni, bagaimana hanya tangga sebelah kanan sahaja boleh digunakan, manakala tangga di sebelah kiri dalam keadaan uzur.
“Kami berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan sesuai sebelum ia mengundang masalah serius termasuk menjejaskan kesihatan penghuni.
“Sebelum ini pernah berlaku kes denggi kerana longkang tersumbat dengan sampah selain semak di belakang flat menjadi kawasan biawak membuat hingga ia membimbangkan ,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Baharudin Mohamed Taib, mengakui menerima maklumat berkaitan keadaan flat berkenaan apabila ia tular di media sosial.
Beliau berkata, di kawasan Pasir Gudang mahupun Megah Ria, pihaknya mendapati beberapa flat dalam keadaan sama.
“Selain PBT, kami juga akan menyalurkan maklumat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
BHOnline