Mereka berdua sahajalah anak saya
Petaling Jaya: “Dalam seminggu kebelakangan ini saya perasan mereka berdua rapat sangat.
“Buat apa saja bersama-sama, pergi ke mana-mana pun semua berdua. Sampai hari kejadian semalam pun mereka masih berdua,” kata Farizuddin Mat Saad, 52, bapa kepada dua beradik berusia 15 dan 11 tahun yang maut dilanggar sebuah lori di Jalan PJS 3/2, Taman Medan, di sini, semalam.
Katanya, sebelum ini dua beradik itu seperti orang lain, akan berbaik semula selepas bergaduh, namun mereka begitu rapat sejak seminggu kebelakangan ini.
Menurutnya, dia reda dengan kejadian menimpa Nayli Ulfa, 15, dan adiknya, Nuf Amni, 11, yang maut dilanggar ketika keluar dari rumah untuk membeli makanan.
“Sebelum mereka keluar saya nampak mereka naik motosikal, tapi itulah, benda nak jadi, dah sampai ajal,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, dua beradik berkenaan maut di tempat kejadian selepas dilanggar lori yang dipercayai hilang kawalan.
Farizuddin berkata, dia mengetahui kejadian menyayat hati itu menerusi kumpulan WhatsApp penduduk ketika berada di surau.
Katanya, biarpun kehilangan dua anak serentak, dia reda dengan ketentuan takdir biarpun keluarganya dalam perancangan membeli kelengkapan hari raya.
“Mereka berdua sahajalah anak saya, tipu kalau kata saya tidak sedih tetapi benda dah nak jadi, dah sampai masa, saya reda,” katanya.
Jenazah dua beradik itu disembahyangkan di Masjid Jumhuriah Petaling Jaya, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan PJS4, Petaling, petang ini.
METRO