Bicara kes Isma Halil dituduh edar ganja Oktober

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan tiga hari pada Oktober depan untuk perbicaraan kes penyampai radio, Isma Halil Hamzah yang dituduh mengedar dadah, tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan 19, 20 dan 31 Oktober untuk prosiding berkenaan seperti cadangan pihak pendakwaan dan mendapat persetujuan pasukan pembelaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Norashikin Ibrahim memaklumkan, pihaknya sudah menyerahkan dokumen berkaitan kepada peguam Isma Halil, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar dan Adi Zulkarnain Zulkafli.



Norashikin juga memaklumkan, pihak pendakwaan bercadang memanggil enam hingga tujuh saksi untuk perbicaraan kes terbabit.

Pada 21 Februari lalu, Isma Halil, 49, mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, di sini, pada jam 5.35 petang 27 Ogos 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati.

Kes membabitkan bekas penyampai radio itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dari Mahkamah Sesyen pada 27 Januari selepas laporan kimia diperoleh.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button