Khutbah Aidilfitri tekankan kawalan kendiri ketika ziarah

KUALA LUMPUR: Khutbah Aidilfitri tahun ini terus menekankan pentingnya umat Islam melakukan kawalan kendiri bagi mengelak menjadi pembawa virus COVID-19, sekali gus membahayakan nyawa orang lain ketika menziarahi sanak saudara.

Khutbah bertajuk ‘Kemenangan Membawa Keredhaan’ itu turut menyarankan umat Islam untuk melengkapkan pengambilan vaksin dos penggalak dan vaksin untuk anak-anak bagi mengurangkan risiko lebih teruk.

“Pandemik yang melanda sejak dua tahun lalu menyebabkan kita meraikan Aidilfitri secara sederhana dalam suasana pematuhan beberapa prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak.



“Alhamdulillah, pada tahun ini, kita dapat bersama-sama meraikan Aidilfitri bersama keluarga dan saudara-mara, malah amalan berziarah sememangnya amat dianjurkan dalam Islam kerana ia dapat memperbaiki dan memelihara silaturahim sesama insan.

“Justeru, ziarahilah keluarga, saudara-mara dan kenalan kita sempena hari raya ini dengan melakukan kawalan kendiri,” menurut khutbah yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menerusi khutbah itu, Aidilfitri adalah hari kegembiraan bagi seluruh umat Islam dengan cara dan panduan sesuai syariat.

Justeru sewajarnya diraikan dengan kegembiraan asal tetap mematuhi batas sempadan yang ditetapkan oleh Allah, jangan dicemari dengan perkara-perkara maksiat, menjaga adab Islam dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan serta mengelakkan daripada membazir.



“Marilah kita memperbaiki hubungan persaudaraan, perbezaan diketepikan bagi mewujudkan umat Islam yang lebih kuat dan dihormati.

“Jika ada saudara atau sahabat masih bersengketa, maka jadilah pendamai dan bukan batu api yang malah menyimbah minyak pada bara yang sedang menyala,” menurut khutbah yang dibacakan oleh semua iman di seluruh negara.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button