Bukan rendang atau ketupat aku rindu!
Kuala Lumpur: Bukan ketupat, bukan rendang mahupun lemang sebaliknya nasi goreng air tangan bekas isteri adalah hidangan yang cukup dirindui Bob, 36, (bukan nama sebenar) pada sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Kali terakhir Bob merasa juadah berkenaan sebelum ditahan penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada hari raya ketujuh tahun lalu akibat penyalahgunaan dadah sejak berusia 17 tahun.
Bob, yang kini menjadi penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), Dengkil, dekat sini, sejak 11 bulan lalu berkata, walaupun ringkas, ia adalah makanan yang paling digemarinya pada setiap masa termasuk ketika sambutan lebaran.
“Walaupun kami baru bercerai sejak sebulan lalu, hubungan kami masih baik. Saya suka masakan dia. Nasi goreng air tangannya lebih sedap berbanding masakan ibu saya,” katanya.
Tidak hanya itu, Bob turut meluahkan rasa rindu dan harapannya untuk mendengar panggilan ‘ayah’ daripada dua anak perempuannya yang berusia enam dan tujuh tahun.
“Jika tahun lalu, saya masih boleh menunaikan segala permintaan mereka, namun tahun ini keadaan berbeza sama sekali, bahkan sehingga hari ini, saya belum berkesempatan menemui mereka. Lagipun, saya mengambil pendekatan tidak memberitahu anak mengenai keadaan sebenar. Biar mereka tahu saya terpaksa pergi jauh bekerja,” katanya yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan.
Insaf dengan perbuatannya itu, bekas juruteknik ini mengakui Puspen mengajarnya untuk menjadi insan tabah dan sentiasa berusaha mendekatkan dirinya kepada Yang Maha Esa.
“Saya merancang pulang ke kampung dan meluangkan masa dengan ibu bapa selepas dibebaskan nanti.
“Sudah hampir empat tahun saya tidak pulang ke kampung. Ibu adalah insan paling rapat dan penyokong utama serta sentiasa mengharapkan saya berubah menjadi insan berguna,” katanya.
Turut berkongsi perasaan, Kak Ida, 50, (bukan nama sebenar) yang berharap untuk bertemu dengan semua ahli keluarganya termasuk empat anaknya.
Katanya, memori paling tidak dapat dilupakannya apabila mereka sekeluarga meraikan Aidilfitri dengan memakai persalinan sedondon.
“Saya rindu nak berkumpul dan membuat kuih tart dengan mereka. Walaupun saya lakukannya di sini bersama penghuni lain, namun situasinya tidak sama apabila dengan keluarga,” katanya.
Berazam menjadi lebih baik, Kak Ida yang menyerah diri secara sukarela di AADK tahun lalu, bersyukur dirinya masih diterima keluarga walaupun lebih 30 tahun terjebak dengan najis dadah.
“Saya pernah menjauhkan diri daripada keluarga terutama anak kerana malu dengan diri yang tidak terurus dan terabai. Namun, mereka tetap berusaha mencari dan memujuk saya untuk dibawa pulang. Malah, saya sendiri memilih menjalani rawatan di Puspen kerana ingin perubahan dalam hidup,” katanya.
Seorang lagi penghuni Puspen yang hanya dikenali sebagai Aman, 27, (bukan nama sebenar) mengakui merindui dan mengharapkan keampunan daripada ibunya pada Aidilfitri ini.
Tambahan pula, sehingga hari ini, Aman belum berkesempatan bertemu dengan ibunya sejak ditangkap dan dibawa ke Puspen sejak 11 bulan lalu.
METRO