Gudang penyimpanan bahan kimia terbakar
Nibong Tebal: Sebuah gudang penyimpanan bahan kimia di Kawasan Perindustrian Valdor, di sini musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap dengan bantuan BBP Nibong Tebal, Perai, Batu Kawan dan Bandar Perda ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 5.45 pagi berhubung insiden berkenaan.
Katanya, sebaik tiba di lokasi didapati kebakaran membabitkan tiga struktur gudang penyimpanan cecair mudah terbakar dengan anggaran kemusnahan 70 peratus.
“Tiada mangsa terbabit dalam kejadian ini sebelum kerja-kerja pemadaman dilaksanakan dengan bantuan daripada Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari Balai Bomba Perai.
“Sehingga kini, kerja-kerja overhaul juga masih dilaksanakan bagi memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan .
BHOnline