Majlis bahagia Jue Aziz?
Kuala Lumpur: “Alhamdulillah.”
Demikian tulis kenyataan ringkas pelakon, Jue Aziz dalam satu hantaran di Instagramnya yang turut disertakan dengan gambar dua individu duduk di pelamin dan kelihatan seperti baru sahaja selesai dengan majlis pertunangan.
Hantaran itu sekaligus menuai pelbagai spekulasi dihujani komen netizen dan kenalan yang menitipkan ucapan tahniah kepadanya.
Namun begitu, Jue bagaimanapun tidak menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai hantaran itu, sama ada itu adalah dirinya atau bukan memandangkan wajah wanita dalam gambar berkenaan, ditutup dengan bunga.
Namun begitu, dalam hantaran terbaharunya, Jue memuat naik gambar tulisan tertera perkataan ‘nephew’ atau anak saudara lelaki, disertakan dengan emoji hati dan bunga mawar di ruangan kenyataan.
Harian Metro cuba menghubungi Jue untuk mendapatkan kenyataan dan pengesahan daripadanya, namun belum menerima sebarang maklum balas.
Pelakon filem Hantu Bonceng itu sebelum ini pernah berkahwin dengan pemuzik Indonesia, Bayu Daniels pada 9 Mac 2014 sebelum mengesahkan mengenai penceraiannya pada 2019.
Perkahwinan mereka dikurniakan seorang cahaya mata bernama Darwish.
METRO